Takrif
Melayu
M. Ptolemy menggunakan istilah 'maleu-kolon' dalam karyanya
yang berjudul Geographike Sintaxis. Kitab Hindu Purba yang berjudul Purana
terdapat perkataan 'malaya-dvipa'. Catatan orang China yang
menyatakan bahawa sebuah kerajaan 'Mo-lo-yeu' mengirimkan utusan ke
negara China untuk mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar
644-645 Masihi. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha
bernama I-Tsing yang menggunakan kata 'ma-lo-yu' tentang dua
buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi, iaitu Kerajaan Melayu
di Sungai Batang dan Kerajaan Sriwijaya di Palembang. Catatan dalam
kesusasteraan China menyatakan bahawa pengembara yang singgah di Nusantara
mendapati bahasa yang dituturkan penduduk di situ ialah bahasa K’un-lun.
Bahasa ini dipercayai oleh penyelidik sebagai bahasa Melayu kuno. Sebuah
patung di Padang Rocore, Batanghari bertarikh 1286 M dengan catatan perkataan 'Malaya'
atau 'Melayu' pada bahagian belakangnya. Buku Sejarah Melayu
mengaitkan perkataan Melayu dengan nama sebatang sebatang sungai yang deras
alirannya, iaitu Sungai Melayu.
Definisi 'Melayu' dari segi etimologi
Etimologi: Kajian asal-usul dan sejarah
sesuatu perkataan serta makna perkataan tersebut.
Berasal daripada perkataan Malaya, iaitu kependekan 'hima alaya'.
'Alaya' bermaksud 'tempat' manakala 'hima alaya' bermaksud
'tempat bersalji'.
Perkataan Malayapura yang bermaksud 'kota Melayu' atau 'kerajaan
Melayu'.
Dikatakan diambil daripada perkataan bahasa Jawa kuno, 'mlayu'
yang bermaksud 'mengembara' atau 'pergi ke mana-mana'.
Berasal daripada nama sebatang sungai, Sungai Melayu yang disebut
dalam buku Sejarah Melayu.
Van der Tuu, perkataan Melayu bererti 'menyeberang', merujuk
kepada orang Melayu yang menyeberang atau menukar agama daripada agama
Hindu-Buddha kepada Islam.
Dari segi etimologi, 'Melayu'
merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam
orang Melayu. Perkataan Melayu mungkin berasal daripada nama sebuah anak sungai
yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatera. Di sana
letaknya 'Kerajaan Melayu' sekitar 1500 tahun dahulu sebelum atau semasa adanya
Kerajaan Srivijaya. Sehubungan itu, dari segi etimologi, perkataan 'Melayu' itu
dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit 'Malaya' yang bermaksud 'bukit'
ataupun tanah tinggi. Ada juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan
'Melayu' berasal dari 'Sungai Melayu' di Jambi.
Istilah
“Melayu” ditakrifkan oleh UNESCO pada tahun 1972 sebagai suku bangsa Melayu di
Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, dan Madagaskar.
Bagaimanapun menurut Perlembagaan Malaysia, istilah 'Melayu' hanya merujuk
kepada seseorang yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam. Dengan
kata yang lain, bukan semua orang yang berketurunan daripada nenek moyang
Melayu adalah orang Melayu.
Istilah 'Melayu' untuk merujuk kepada nama
bangsa atau bahasa adalah suatu perkembangan yang agak baru dari segi sejarah,
iaitu setelah adanya Kesultanan Melayu Melaka. Walaupun demikian, tidaklah
sehingga abad ke-17 bahawa istilah 'Melayu' yang merujuk kepada bangsa semakin
digunakan secara meluas. Sebelum itu, istilah 'Melayu' hanya merujuk kepada
keturunan raja Melayu dari Sumatera sahaja.
Definisi 'Melayu' berdasarkan Bangsa
Istilah Melayu dapat diberi dua
pengertian, iaitu pengertian yang luas dan pengertian yang sempit.
Pengertian yang luas
Istilah Melayu merujuk kepada
bangsa-bangsa Austronesia yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu dan
kawasan-kawasan gugusan kepulauan Melayu.
Berdasarkan 'The Malay Culture Study Project' (1972), konsep Melayu
merujuk kepada suku bangsa di Semenanjung Tanah Melayu, termasuklah
orang-orang Melayu di Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar. Secara
umumnya dapatlah dikatakan bahawa pengertian Melayu merujuk kepada bangsa yang
berbahasa Melayu yang mendiami Semenanjung Tanah Melayu, pantai Timur
Sumatera dan beberapa tempat lain di Nusantara.
Pengertian yang sempit
Pengertian yang sempit ialah seperti yang
terdapat dalam Perlembagaan Malaysia, iaitu Perkara 153 mengatakan bahawa seseorang itu dapat ditakrifkan sebagai Melayu apabila memiliki
ciri-ciri seperti: lazimnya berbahasa Melayu, berkebudayaan Melayu dan
beragama Islam (yang murtad, tukar kewarganegaraan: taraf
Melayu-hilang). Tafsiran Melayu mengikut pengertian suku bangsa lebih
berdasarkan etnik (keturunan biologi). Walaupun begitu, syarat berbahasa
Melayu dan kebudayaan Melayu masih diperlukan. Walau bagaimanapun, mereka
tidaklah semestinya beragama Islam. Untuk maksud ini, orang-orang Melayu ialah:
Orang-orang Melayu seperti yang terdapat
dalam Perlembagaan Malaysia.
Orang-orang Melayu yang mendiami kawasan
Selatan Thai, Pesisir Sumatera (utara Medan, Deli, Serdang, Palembang, Riau,
Lingga ) ada beragama Budha, Kristian.
Orang-orang Melayu di bahagian pertama
Sarawak ada beragama Kristian.
Orang-orang Melayu di Brunei dan Sabah ada
yang tiada agama, agama-agama lain.
Tafsiran Melayu mengikut pengertian ras
merangkumi penduduk Seluruh Nusantara. Berdasarkan kajian Geldern dan Kern,
kumpulan bangsa Melayu berasal dari utara ke selatan. Mereka berasal daripada
satu kelompok bangsa kemudian tersebar ke seluruh
Nusantara. Pengertian mengikut ras ini lebih tertumpu kepada suatu rumpun
bangsa yang besar dan berkaitan.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 160(2):
"Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama
Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, menurut adat Melayu, dan:
Yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau
yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan
atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau
di Singapura; atau
Zuriat seseorang yang sedemikian.
Penerangan:
Oleh itu, tidak kira dia berbangsa Melayu,
Cina atau India, asalkan dia MEMELUK AGAMA ISLAM, boleh bertutur Bahasa
Melayu, pernah tinggal di Persekutuan atau di Singapura sehingga mengikut
adat-adat tempatan dan lahir di Persekutuan atau di Singapura seperti yang
dinyatakan di atas, maka dia digelar 'orang Melayu'.
RUJUKAN
Abdul
Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain (2005), Sejarah Bahasa Melayu.
Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Alias
Mohammad Yatim (1998), Mengenali Bahasa Melayu. Kedah : Peercetakan
Paavai.
Asmah
Hj Omar (1993), Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur :
Percetakan T.I
Jamilah
Syed Ahmed ( 2004 ), Konsep Melayu, Perjuangan & Kemunduran dalam
Sajak-sajak Mohamed Latif Mohamed :
Satu Analisis Makna. Akedemi Pengajian Melayu. Kuala Lumpur :
Univesiti Malaya.
James
T. Collins (2005), Bahasa Melayu Bahasa Dunia : Sejarah Singkat.
Jakarta : Yayasan
Obor Indonesia.
Muhammad
Haji Salleh (1997), Sulalatus Salatin Ya’ni Pertuturan Segala Raja-
Raja/karangan Tun Seri Lanang. Kuala
Lumpur : Yayasan Karyawan & Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad
Haji Salleh (2009), Sulalat al-Salatin Ya’ni Pertuturan Segala
Raja-Raja/karangan Tun Seri Lanang. Kuala
Lumpur : Yayasan Karyawan & Dewan Bahasa dan Pustaka.
http://karyaagung2013.blogspot.com/2013/05/definisi-etimologi-melayu.html
No comments:
Post a Comment