Tuesday, April 29, 2014

NILAI ILMU DAN MAKLUMAT



Nilai Ilmu dan Maklumat



Ilmu Perdukunan

Menurut Kamus Dewan (2010), dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya) seperti bomoh dan pawang. Manakala perdukunan pula membawa maksud yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional yang berkaitan dengan ilmu dukun.

Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Dalam kepercayaan itu mereka menganggap setiap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan dengan itu, wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai, gunung-gunung dan fenomena lain. Kuasa ghaib itu tidak boleh dihubungi oleh orang sembarangan kecuali dukun, pawang atau bomoh. Usaha ini dianggap berfungsi mengembalikan keadaan seperti asalnya.

Dukun atau bomoh juga dapat menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutama binatang yang liar dan berbisa. Mereka tahu akan kelemahan binatang-binatang tersebut dengan jampi. Kadang-kadang seseorang bomoh itu pakar dalam satu bidang sahaja seperti bomoh ular, gajah dan sebagainya. Di Melaka, terdapat orang yang begitu arif tentang gajah, bergelar Penghulu Gajah. Antaranya adalah Seri Wak Raja. Contoh petikan adalah seperti di bawah:

“Sekalian orang pun melihat tahunya Seri Wak Raja; gajah penakut jadi beraninya.”

 (Sulalatus Salatin : m.s. 209)



Ilmu Firasat

Menurut Kamus Dewan (2008), firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka, badan dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Menurut Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui terlebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku. Melalui ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain. Antaranya berdasarkan nama, haru atau ketika. Hal ini penting terutama dalam kalangan pahlawan-pahlawan kerana dengan adanya ilmu firasat, ia boleh membantu mereka menewaskan musuh.
Sejarah Melayu memaparkan dengan jelas perkara tersebut dalam episod serangan Melaka ke atas Pahang. Bendahara Paduka Raja memerintahkan pahlawan-pahlawannya mengejar Maharaja Dewa Sura yang melarikan diri. Dalam usaha itu Seri Bija Diraja tidak tergesa-gesa seperti orang lain kerana dia tahu musuhnya itu tidak akan terlepas dari tangannya. Perkara ini dapat dilihat daripada kata-kata beliau kepada anak buahnya.

“Di mana kamu semua orang muda-muda tahu? Kerana Maharaja Dewa Sura ini sudah aku kira-kirakan namanya di bawah namaku, dan harinya di bawah hariku dan ketikanya di bawah ketikaku, di mana ia akan lepaskan daripada tanganku?”
                                                                                                             (Sejarah Melayu : m.s.74)




Jampi

Menurut Kamus Dewan (2010), jampi membawa makna kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Mana Sikana (1996) pula berpendapat bahawa jampi serapah tidak hanya sekadar penglahiran perasaan seperti puisi. Jampi mempunyai hubungannya dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Jampi dikatakan sebagai sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutamanya pada perubatan. Pawang sebagai pembaca jampi adalah manusia yang luar biasa dan disifatkan sebagai manusia perantaraan makhluk dengan Khaliq atau supernatural.
Kedudukan pawang dalam hierarki kemasyarakatan adalah jelas. Jampi mantera yang diucapkan telah mendapat tempat yang istimewa. Jampi mempunyai unsur-unsur pemujaan, perubatan, kasih sayang, pendinding dan berhubung dengan psikologi manusia. Biasanya pawang, dukun, bomoh atau orang yang memakainya tidak begitu mudah memberikan jampi serapahnya kepada orang lain. Mereka bimbang jampi serapah yang diketahui itu tidak mujarab lagi, melainkan orang yang sudah menuntut dan orang lain tidak boleh menggunakannya. Jika digunakan juga dia akan menerima padahnya. Contoh yang terdapat dalam karya agung ialah:

“Permulaan kata aku menyatakan
Hakikat jin seribu empat puluh dua lagi
Aku tahu akan asal usul dirimu
Asal diri jadi di huruf Alif
… dengan berkat La ilaha illallah”

                                                                                                             (Kitab Tib: m.s. 1292)



Pengasih

Pengasih membawa makna ilmu pengasih, jampi, azimat, doa, guna-guna dan lain-lain untuk mendatangkan atau membangkitkan rasa kasih (Kamus Dewan, 2010). Ilmu pengasih ini adalah untuk mendapat pemujaan oleh seseorang yang jatuh hati kepada orang lain. Lazimnya, ilmu pengasih digunakan oleh seseorang kerana mungkin orang yang disukai itu tidak menyukainya atau orang itu terlalu jual mahal. Ilmu pengasih boleh digunakan dengan banyak cara, namun cara yang popular adalah dengan cara mencalitkan sesuatu minyak kepada seseorang yang berkenaan atau dengan cara menjampi gambar dan sebagainya. Contoh ayat jampi pengasih ialah:

“Kun sarik panjik-panjik
Bagurung bagirang
Taulas takani ngidan
Kasih sayang (anu) memandang akuk
Cinta sayang (anu) melihat akuk
Dengan berkat
Lailaha il-Lallah
Muhammad ar-Rasulullah”
                                                                                                           (Mana Sikana : m.s.67)


 Adat Dan Istiadat

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) pula, adat bermaksud peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun di dalam sesuatu masyarakat sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), istiadat bermaksud peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan. Pengertian istiadat mempunyai kaitan dengan adat. Apabila kita menyebut adat istiadat, ia membawa dua maksud, iaitu pelbagai adat dan upacara termasuk peraturan pelaksanaannya. Sehubungan dengan itu, berbeza dengan undang-undang, istiadat boleh dikatakan tidak melibatkan hukuman atau denda tertentu.
Terdapat dua jenis adat yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin, iaitu adat yang melibatkan hukuman dan adat yang tidak melibatkan hukuman. Adat yang melibatkan hukuman terbahagi kepada dua, iaitu undang-undang dan larangan Diraja. Antara undang-undang yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin ialah derhaka, menggunakan hak raja tanpa izin, merancang untuk merampas kuasa atau seumpamanya, tidak mengadap raja pada hari-hari tertentu, biadab kepada raja atau wakil, mencuri, membuat fitnah dan mengambil isteri orang .


Adat Temenggung

Ramai penulis dan sarjana yang menulis dan mengkaji tentang adat masyarakat Melayu di semenanjung Malaysia beranggapan bahawa adat yang diamalkan di luar Negeri Sembilan adalah Adat Temenggung. Adat ini diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan, iaitu abang tiri kepada Datuk Perpatih Nan Sebatang yang mengasaskan Adat Perpatih yang berasal dari Sumatera. Wujudnya istilah "Adat Temenggung" adalah berkait dengan munculnya istilah "Adat Perpatih" kerana istilah ini tidak ada dalam budaya Melayu yang awal. Disebabkan oleh Adat Temenggung diamalkan di hampir semua negeri-negeri Melayu, maka Adat Temenggung telah bercampur dengan undang-undang adat Melayu sedia ada yang mempunyai nama yang berbeza mengikut negeri. Aspek yang terdapat dalam adat Temenggung :

i)                    Sistem politik dan kekuasaan
ii)                  Perundangan
iii)                Perkahwinan


 Adat Perpatih

Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning di Melaka. Nama Adat Perpatih diambil sempena gelaran orang yang menyuruh Adat Tuah Disakato, iaitu adat yang diamalkan di Minangkabau, Datuk Parapatieh Nan Sabatang (Datuk Perpatih Nan Sebatang). Menurut Newbold (1839: 76 dalam buku Adat Perpatih: perbezaan dan persamaannya dengan Adat Temenggung), Negeri Sembilan semasa kedatangan perantau Minangkabau ke semenanjung Tanah Melayu, bukanlah kawasan yang tidak berpenghuni.
Semenjak orang Negeri Sembilan dan Naning mempunyai hubungan dengan masyarakat luar terutamanya orang-orang Eropah (Inggeris), cara hidup masyarakat Adat Perpatih telah dipengaruhi, malah diubah oleh elemen-elemen baharu yang mewakili nilai-nilai yang tidak pernah dikenali sebelum ini. Jadual di bawah memberi penerangan mengenai perbezaan yang dialami oleh Adat Perpatih terutamanya sebelum dan selepas kedatangan pihak penjajah.

No comments:

Post a Comment