Unsur-unsur
pengembaraan dalam Sulalatus Salatin
1.
Raja
Iskandar Zul-karnain dari Makaduniah mengembara ke Timur.
Unsur
pengembaraan dalam Sulalatus Salatin yang pertama ialah pengembaraan Raja
Iskandar Zul-karnain dari Makaduniah ke Timur. Raja Iskandar ialah anak Raja Darab yang berbangsa Rom dan
Zulkarnain ialah gelaranya. Baginda ingin melihat matahari terbit lalu baginda
pun mengembara ke negeri Hindi yang mana negeri tersebut ditadbir oleh seorang
raja yang bernama Raja Kida Hindi. Apabila mendengar perkhabaran Raja Iskandar
sedang menuju ke negeri Hindi, Raja Kida Hindi memanggil semua menteri dan
raja-raja takluknya untuk berbincang. Apabila kata sepakat sudah diraih, maka
bersemukalah Raja Kida Hindi dengan Raja Iskandar. Perang pun tercetus dan
peperangan dimenangi oleh Raja Iskandar. Maka Raja Kida Hindi di suruh supaya
memeluk Islam dan baginda pun menurutinya. Setelah itu, Raja Iskandar pun
kembali semula ke negerinya.
Tidak seberapa lama, Raja Kida Hindi ingin
mencari calon suami buat anakandanya Puteri Syahrul-Bariyah lalu baginda telah
meminta Perdana Menterinya untuk datang menghadapnya di suatu tempat yang sunyi
untuk memberi pandangan sama ada wajar atau tidak sekiranya anakandanya dipersembahkan
kepada Raja Iskandar. Raja Kida Hindi meminta Perdana Menteri untuk pergi
bertemu dengan Nabi Khidir dan baginda telah mengutuskan surat kepada Raja
Iskandar dengan nilai dirham atas segala panji rasmi kerajaannya. Nabi Khidir
untuk memberitahu hasrat Raja Kida Hindi untuk menjodohkan anakandanya dengan
Raja Iskandar. Mengikut sahibul-hikayat Nabi Khidir pergi berjumpa dengan Raja
Kida Hindi selepas menerima kedatangan Perdana Menteri Raja Kida Hindi. Selepas
daripada itu, hadirlah Raja Iskandar untuk dinikahkan dengan Puteri
Syahrul-Bariyah.
Pengembaraan Raja Iskandar ini telah
membawa ke beberapa peristiwa penting iaitu penaklukan negeri Hindi dan
pernikahan anak Raja Kida Hindi dengan Raja Iskandar. Petikan yang dapat
menjelaskan kesan penaklukan Raja Iskandar ke atas negeri Hindi adalah seperti
berikut:
“Setelah sudah kampung semuanya, maka
dikeluarinyalah oleh Raja Kida Hindi akan Raja Iskandar; maka setelah bertemulah segala rakyat antara
kedua pihak itu, lalu berperanglah, terlalu ramai seperti yang dalam Hikayat Iskandar itu. Maka alahlah
Raja Kida Hindi itu oleh Raja Iskandar, ditangkap baginda dengan hidupnya Raja
Kida Hindi itu; maka disuruhlah oleh Raja Iskandar membawa iman, maka Raja Kida
Hindi pun membawa imanlah dan jadi Islam, dalam agama Nabi Ibrahim Khalilu
‘llah ‘alaihi s-salam.”
Sejarah Melayu
Sulalatus Salatin: 4
“ Maka dikahwinkan Nabi
Khidirlah anak Raja Kida Hindi dengan Raja Iskandar atas syariat Nabi Ibrahim
Khalilu ‘llah, di hadapan segala mereka tersebut itu.”
Sejarah
Melayu Sulalatus Salatin: 6
2.
Pengembaraan
Raja Suran
Selain
itu, terdapat pengembaraan Raja Suran untuk menakluk negeri China. Raja Suran
ialah waris kepada datuknya iaitu Raja Sulan yang menjadi pemerintah kepada
negeri Amdan Negara. Raja Suran telah menakluk negeri dari Masyrik hingga ke
Maghrib dan hanya tinggal sebuah negeri sahaja lagi yang belum ditakluknya
iaitu negeri China. Raja Suran telah mengembara daripada negeri-negeri di utara
terus ke Langgiu dan sampai ke Temasik. Kemudian, baginda meneruskan perjalanan
atau pelayarannya itu untuk menyerang sekaligus menakluk negeri China.
Rancangan tersebut telah sampai ke pengetahuan raja China. Raja China
memberitahu sekalian menteri bahawa sekiranya raja Suran datang menakluk negeri
China maka binasalah sekalian negeri. Raja China meminta menteri-menteri
bersepakat mencari jalan penyelesaian bagi permasalahan ini. Perdana Menteri
tampil memberi cadangan iaitu dengan mempersiapkan sebuah pilau atau sampan
yang besar dan di dalam sampan tersebut akan diisikan dengan jarum yang
berkarat. Kemudian akan ditanam pohon-pohon kesmak bersama pohon yang mempunyai buah-buahan.
Akhir sekali , diambil beberapa orang tua yang sudah tertanggal gigi untuk
berada di atas pilau tersebut. Perdana Menteri memesan supaya orang-orang tua
tersebut berlayar ke Temasik.
Apabila tiba di Temasik, maka Raja Suran
pun menitahkan supaya hulubalangnya pergi menyoal akan orang China tersebut
tentang jarak untuk pergi ke negeri China. Maka orang-orang China tersebut
mengatakan bahawa.jarak untuk ke negeri China dari Temasik sangatlah jauh.
Semasa mereka keluar dari negeri China usia mereka ialah dua belas tahun.
Pokok-pokok yang sudah berbuah itu asalnya ialah biji benih, dan jarum yang
berkarat itu asalnya ialah besi yang sebesar lengan semasa mereka keluar
daripada daripada negeri China. Keadaan ini melambangkan betapa jauhnya jarak
untuk sampai ke negeri China. Raja Suran akhirnya mengambil keputusan untuk
tidak menyerang negeri China dan baginda perintahkan supaya mereka berundur. Misalnya,
petikan di bawah dapat menerangkan situasi hulubalang semasa menanyakan jarak
negeri China dari Temasik.
Maka orang itu
pun pergilah bertanya pada orang pilau itu. maka sahut China itu, “Tatkala kami
keluar dari benua China, sekalian kami-kami ini sedang muda-muda belaka, baharu
dua belas tahun umur kami, dan segala buah-buahan ini bijinya kami tanam, kami
pun tualah, gigi kami semua pun habis tanggal; segala buah-buahan yang kami
tanam itu berbuahlah, baharulah kami sampai ke mari.” Maka diambilnya jarum ada
beberapa bilah itu, ditunjukkannya pada Keling itu, katanya, “Besi ini kami
bawa ke mari dari benua China seperti lengan besarnya, sekarang inilah
tinggalnya habis haus; demikianlah peri lamanya kami di jalan, tiadalah kami
tahu akan bilangan tahunnya.”
Sejarah Melayu
Sulalatus Salatin: 13 & 14
Di samping itu, terdapat pengembaraan
Raja Suran ke dasar laut. Raja Suran mengembara ke dasar laut kerana baginda sudah
tahu akan isi di darat. Oleh itu, baginda ingin melihat ciptaan Allah S.W.T di
laut pula. Pengembaraan itu telah membawa baginda sampai di sebuah negeri yang
terletak di dasar laut iaitu negeri Dika. Sebelum baginda turun ke dasar laut, Raja
Suran telah memerintahkan supaya dibuat sebuah peti yang boleh dikunci dari
dalam sebagai kenderaannya untuk baginda mengembara. Setelah siap peti kaca
tersebut dihasilkan, raja Suran pun masuk ke dalam peti dan menguncinya dari
dalam dan kemudiannya peti tersebut ditenggelamkan ke dalam air. Kecantikan dan
keindahan ciptaan Allah di dasar laut dapat dilihat dari dalam peti kaca.
Baginda kemudiannya sampai di negeri Dika. Di situ terdapat suatu kaum yang
bernama Bu Sum. Terdapat antara mereka yang beragama Islam dan selebihnya
kafir. Orang-orang di situ tergamam melihat kehadiran Raja Suran dari segi gaya
pakaiannya yang seperti anak raja. Oleh itu, Raja Suran dibawa bertemu dengan
raja mereka iaitu Raja Aktabu’l –Ard. Raja Aktabu’l Ard menyakan asal usul Raja
Suran. Raja Suran menjawab bahawa baginda berasal dari dalam dunia, raja segala
manusia. Raja Akhtabu’l-Ard berasa kagum dengan jawapan Raja Suran lalu baginda
mengangkat Raja Suran sebagai raja di kerajaannya. Pengembaraan tersebut dapat dilihat dalam petikan seperti
di bawah.
Maka Raja Suran pun keluarlah dri dalam
peti itu, lalu berjalan melihat segala yang indah –indah; maka baginda bertemu
dengansebuah negeri terlalu besar, lagi dengan teguhnya. Maka Raja Suran pun
masuklah ke dalam negeri itu, maka melihat baginda dalam negeri itu suatu kaum
Bu Sum namanya, terlalu amat banyak, tiada siapa mengetahui bilangan; tetapi
mereka itu setengah Islam dan setengah kafir.
Sejarah Melayu
Sulalatus Salatin: 14
3.
Pengembaraan
ketiga-tiga putera Raja Suran ke Bukit Si Guntang Mahamiru
Perkahwinan
Raja Suran dengan Tuan Puteri Mahtabu’l-Bahri anak Raja Akhtabu’l-Ard telah
dikurniakan seramai tiga orang putera lelaki iaitu Nila Pahlawan, Krisyna
Pandita dan Nila Utama. Ketiga-tiga orang putera ini telah dipelihara oleh
nenda mereka iaitu Raja Akhtabu’l-Ard. Setelah mereka meningkat dewasa, Raja
Akhtabu’l-Ard telah menceritakan pesanan Raja Suran iaitu ayahanda kepada
cucunda-cucundanya supaya mereka dihantar ke dunia. Nenda mereka memberitahu bahawa ayahanda
mereka berasal dari keturunan Raja Iskandar Zul-Karnain, bernasab daripada nabi
Sulaiman ‘alaihi s-salam, dan darah keturunan Nusyirwan Adil iaitu raja masyrik
dan maghrib.
Setelah ketiga-tiga cucundanya mendengar
pesanan yang ditinggalkan oleh ayahanda mereka Raja Suran, mereka berasa
sukacita untuk merealisasikan tujuan tersebut dan menanyakan cara untuk ke
dunia yang dimaksudkan itu. Raja Akhtabu’l-Ard memberi persalinan yang
elengkapnya kepada ketiga-tiga cucunya itu kemudiannya mereka diberikan seekor
lembu putih sebagai kenderaan untuk ke dunia.
Takdir
Allah Subhanahu wa taala, setelah mereka sampai di Bukit Si Guntang, padi
berbuahkan emas, daun menjadi perak dan batangnya bertukar menjadi suasa.
Pengembaraan anak-anak raja Suran ke dunia telah menukarkan sawah padi menjadi
keemas-emasan. Wan Empuk dan Wan Malini ialah penduduk asal di Bukit Si
Guntang. Mereka menyedari perubahan sawah padi yang bertukar kepada warna
keemas-emasan itu mengagak bahawa ketiga-tiga pemuda itu ialah anak raja.
Maka dilihatnya padinya berbuahkan emas,
berdaunkan perak dan berbatangkan suasa. Maka kata Wan Empuk “ Yang bercahaya
semalam rupanya padi kita ini berbuahkan emas, berdaunkan perak dan
berbatangkan suasa ini.
Sejarah
Melayu Sulalatus Salatin: 20
Segala alat kebesaran diraja seperti
curik, lembing dan pedang merupakan pemberian nenda mereka untuk mereka
masing-masing. Ketiga-tiga anak raja ini menceritakan asal usul mereka daripada
kisah Raja Iskandar menikahi anak Raja Kida Hindi sehinggalah Raja Suran turun
ke dasar laut menikahi bonda mereka sehingga lahirnya ketiga-tiga zuriat Raja
Suran ke dunia. Kisah ini telah dicatatkan oleh Wan Empuk. Sebagai bukti mereka
berasal dari keturunan ini mereka telah menyatakan bahawa mahkota anugerah
daripada ayahanda mereka beserta padi yang berbuahkan emas, berdaunkan perak,
berbatangkan suasa dan tanah negara itu yang bertukar kepada keemas-emasan sebagai
bukti mereka ialah keturunan pahlawan agung Iskandar Zul-Karnain. Misalnya
petikan di bawah menjelaskan situasi cerita tersebut.
Maka Nila Pahlawan pun berceriteralah
seperti ceritera ayahnya kepada Raja Akhtabu’l-Ard. Segala hikayat Raja
Iskandar beristerikan anak Raja Kida Hindi, dan peri Raja Suran masuk ke dalam
laut, dan peri duduk dengan bondanya beranakkan baginda ketiga bersaudara itu,
semuanya dihikayatkannya kepada Wan Empuk dan Wan Malini maka kata Wan Empuk ,
“Apa alamatnya seperti kata tuan hamba itu,” maka sahut Nila Pahlawan, “
Mahkota kai bertiga inilah alamatnya; serta padi habis berbuahkan emas,
berdaunkan perak dan berbatangkan suasa, dan tanah negara bukit ini menjadi
seperti warna keemas-emasan. Jikalau Embuk tidak percaya, pandanglah alamat
kai, anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain; pancar Sulaiman ‘alaihi s-salam.”
Sejarah
Melayu Sulalatus Salatin: 39 & 40
4.
Pengenbaraan
Tun Perpatih Putih sebagai utusan balasan Raja Melaka ke Negeri China
Tun
Perpatih Putih dihantar oleh Sultam Mansur Syah ke China untuk membalas kiriman
Raja China yang menghantar sebuah pilau yang sarat dipenuhi dengan jarum dengan
balasan kiriman sagu yang telah diisi penuh dalam sebuah pilau. Sagu itu ialah
perlambangan bahawa rakyat Melaka begitu banyak sekali kerana setiap biji sagu
akan digelek oleh seorang rakyat. Perlambangan ini meyakinkan Raja China bahawa
rakyat Melaka terlalu banyak sekaligus meletakkan Sultan Mahmud sebagai seorang
penguasa yang hebat kerana mempunyai kerajaan yang besar.
Maka titah Raja China pada Tun Perpatih
Putih, “ Bagaimana membuat dia in?” Maka sembah Tun Perpatih Putih, “ Digelek
tuanku, pada seorang sebiji disuruhkan oleh raja kami pada seorang rakyat,
hingga sarat sebuah pilau; demikianlah banyak rakyat raja kami, tiada seorang
pun tahu akan bilangannya.” Maka titah Raja China, “ Besar raja Melaka itu,
banyak sungguh rakyatnya, tiada berapa bezanya dengan rakyat kita.
Sejarah
Melayu Sulalatus Salatin:132
Pengembaraan Tun Perpatih Putih ini
telah membawa kepada peristiwa penting iaitu semasa di istana Raja China, Tun
Perpatih Putih diberi hidangan kangkung panjang atas permintaannya sebagai
suatu helah untuk melihat wajah Raja China yang berada dalam mungkur kaca di
mulut naga. Hal ini tercetus apabila Raja China menanyakan makanan kegemaran
orang Melaka lalu Tun Perpatih Putih menjawab rakyat Melaka sangat suka memakan
sayur kangkung yang tidak dikerat. Oleh itu, setelah kejadian itu, orang China
turut memakan sayur kangkung yang tidak dikerat sepertimana orang Melaka makan
kangkung.
Maka titah Raja China kepada Tun
Perpatih Putih , “ Apa kegemaran orang Melaka?” Maka sebah Tun Perpatih Putih,
“ Sayur kangkung tuanku, jangan dikerat-kerat, belah panjang-panjang, iaitulah
kegemaran kami semua orang Melaka makan tuanku,” maka disuruh oleh Raja China
sayur kan kangkung, seperti yang dikatakan oleh Tun Perpatih Putih itu. setelah
sudah masak, dihantarkan dihadapan Tun Perpatih Putih; dan orang Melaka sekian
kalinya pun membibit hujungnya sayur kangkung itu, serta menengadah,
mengangakan mulutnya maka kelihatanlah Raja China duduk di atas kerusi dala
mulut naga pada mungkur kacanya. Maka barulah dapat dipandang dengan nyata oleh
orang Melaka Raja China itu. setelah sekalian China melihat orang Melaka makan
sayur kangkung itu maka diturutnya. Sebab itulah orang China tahu makan sayur
kangkung datang sekarang.
Sejarah Melayu Sulalatus Salatin: 133
5.
Pengembaraan
Tun Mamat untuk meminang Puteri Gunung Ledang.
Setelah Sultan Mahmud kematian isteri, baginda
berhasrat untuk bernikah lagi. Namun, baginda tidak mahu mengahwini
puteri-puteri kebanyakan seperti raja-raja lain lakukan. Baginda ingin meminang
Puteri Gunung Ledang dan sebagai perutusan meminang, Tun Mamad, Hang Tuah dan
Sang Setia dihantar bagi merealisasikan hasrat baginda. Sesampai di suatu
kawasan, kebanyakan pengawal tidak berdaya untuk meneruskan perjalanan mendaki
ke puncak Gunung Ledang. Oleh itu, Tun Mamad telah meneruskan perjalanan
bersama beberapa orang pembantunya dan Hang Tuah dan Sang Setia menunggu di
bawah. Ketika sampai di sebuah taman, Tun Mamad telah bertemu dengan
berbagai-bagai perkara ajaib seperti pokok-pokok kayu yang dapat berlagu, bunga
Tanjung Biru dan bunga-bunga lain dapat berkata-kata. Beliau juga menemui
seorang tua bongkon tiga. Orang tua itu menyatakan hasrat dan permintaan puteri
jelita itu kepada Sultan Mahmud.
Antara barang-barang hantaran yang
diminta ialah tujuh dulang hati kuman, tujuh dulang hati nyamuk, setempayan air
pinang muda, setempayan air mata, satu jambatan emas dan satu jambatan perak
merentasi sari istana Melaka ke Gunung Ledang, darah raja dan putera raja semangkuk.
Berikut ialah petikan yang menceritakan permintaan Puteri gunung Ledang kepada
Sultan Mahmud.
Maka ia berkata pada Tun Mamad, “ Adapun
segala kata tuan hamba itu sudahlah dipersembahkan oleh
Dang Raya Rani pada tuan Puteri Gunung Ledang; akan titah tuan puteri, “
Jikalau raja Melaka hendakkan aku, perbuatkanlah aku jambatan emas satu dan
jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang itu. Akan
perminangannya hati nyamuk tujuh dulang; hati kuman tujuh dulang; air mata
setempayan; air pinang muda setempayan; darah anak raja yang bernama Raja Ahmad
itu semangkuk. Jikalau ada demikian kabullah tuan puteri akan kehendak raja
Melaka itu.” Setelah sudah ia berkata demikian lenyaplah ia.
Sejarah Melayu Sulalatus Salatin: 214
& 215
No comments:
Post a Comment