Wednesday, April 30, 2014

PENGHARGAAN




Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kami memanjatkan rasa kesyukuran kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat juga kami menyiapkan tugasan yang diberikan. Blog ini dijalankan untuk memenuhi tugasan yang diminta oleh pensyarah kami bagi Kursus BMS 3022, iaitu Karya Agung Melayu. Selain itu, blog ini dibina untuk mempromosikan dan memberi maklumat tambahan berkaitan Karya Agung yang semakin dilupakan oleh masyarakat.

            Ribuan terima kasih kami ucapkan kepada individu penting yang banyak membantu kami sepanjang kami menyiapkan blog ini. Pertama sekali kepada Dr. Mohd Rashid bin Md Idris kerana beliau telah banyak memberikan bimbingan dan semangat kepada kami untuk menyiapkan blog ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan ucapan terima kasih kepada beliau.


            Selain itu, terima kasih juga diucapkan kepada ibu bapa kami yang sudi memberi dorongan dan motivasi semasa kami menyiapkan blog ini. Tidak lupa juga, kepada rakan-rakan kami, kerana sudi melawati blog karya agung kami ini dan memberikan sokongan serta dorongan kepada kami sepanjang blog ini dijalankan. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat selama menjayakan blog ini.

ANALISIS DAN ULASAN KARYA AGUNG

Unsur-unsur pengembaraan dalam Sulalatus Salatin

1.      Raja Iskandar Zul-karnain dari Makaduniah mengembara ke Timur.

Unsur pengembaraan dalam Sulalatus Salatin yang pertama ialah pengembaraan Raja Iskandar Zul-karnain dari Makaduniah ke Timur. Raja Iskandar  ialah anak Raja Darab yang berbangsa Rom dan Zulkarnain ialah gelaranya. Baginda ingin melihat matahari terbit lalu baginda pun mengembara ke negeri Hindi yang mana negeri tersebut ditadbir oleh seorang raja yang bernama Raja Kida Hindi. Apabila mendengar perkhabaran Raja Iskandar sedang menuju ke negeri Hindi, Raja Kida Hindi memanggil semua menteri dan raja-raja takluknya untuk berbincang. Apabila kata sepakat sudah diraih, maka bersemukalah Raja Kida Hindi dengan Raja Iskandar. Perang pun tercetus dan peperangan dimenangi oleh Raja Iskandar. Maka Raja Kida Hindi di suruh supaya memeluk Islam dan baginda pun menurutinya. Setelah itu, Raja Iskandar pun kembali semula ke negerinya.

Tidak seberapa lama, Raja Kida Hindi ingin mencari calon suami buat anakandanya Puteri Syahrul-Bariyah lalu baginda telah meminta Perdana Menterinya untuk datang menghadapnya di suatu tempat yang sunyi untuk memberi pandangan sama ada wajar atau tidak sekiranya anakandanya dipersembahkan kepada Raja Iskandar. Raja Kida Hindi meminta Perdana Menteri untuk pergi bertemu dengan Nabi Khidir dan baginda telah mengutuskan surat kepada Raja Iskandar dengan nilai dirham atas segala panji rasmi kerajaannya. Nabi Khidir untuk memberitahu hasrat Raja Kida Hindi untuk menjodohkan anakandanya dengan Raja Iskandar. Mengikut sahibul-hikayat Nabi Khidir pergi berjumpa dengan Raja Kida Hindi selepas menerima kedatangan Perdana Menteri Raja Kida Hindi. Selepas daripada itu, hadirlah Raja Iskandar untuk dinikahkan dengan Puteri Syahrul-Bariyah.

Pengembaraan Raja Iskandar ini telah membawa ke beberapa peristiwa penting iaitu penaklukan negeri Hindi dan pernikahan anak Raja Kida Hindi dengan Raja Iskandar. Petikan yang dapat menjelaskan kesan penaklukan Raja Iskandar ke atas negeri Hindi adalah seperti berikut:

“Setelah sudah kampung semuanya, maka dikeluarinyalah oleh Raja Kida Hindi akan Raja Iskandar;  maka setelah bertemulah segala rakyat antara kedua pihak itu, lalu berperanglah, terlalu ramai seperti  yang dalam Hikayat Iskandar itu. Maka alahlah Raja Kida Hindi itu oleh Raja Iskandar, ditangkap baginda dengan hidupnya Raja Kida Hindi itu; maka disuruhlah oleh Raja Iskandar membawa iman, maka Raja Kida Hindi pun membawa imanlah dan jadi Islam, dalam agama Nabi Ibrahim Khalilu ‘llah ‘alaihi s-salam.”
Sejarah Melayu Sulalatus Salatin: 4

“ Maka dikahwinkan Nabi Khidirlah anak Raja Kida Hindi dengan Raja Iskandar atas syariat Nabi Ibrahim Khalilu ‘llah, di hadapan segala mereka tersebut itu.”
Sejarah Melayu Sulalatus Salatin: 6

2.      Pengembaraan Raja Suran

Selain itu, terdapat pengembaraan Raja Suran untuk menakluk negeri China. Raja Suran ialah waris kepada datuknya iaitu Raja Sulan yang menjadi pemerintah kepada negeri Amdan Negara. Raja Suran telah menakluk negeri dari Masyrik hingga ke Maghrib dan hanya tinggal sebuah negeri sahaja lagi yang belum ditakluknya iaitu negeri China. Raja Suran telah mengembara daripada negeri-negeri di utara terus ke Langgiu dan sampai ke Temasik. Kemudian, baginda meneruskan perjalanan atau pelayarannya itu untuk menyerang sekaligus menakluk negeri China. Rancangan tersebut telah sampai ke pengetahuan raja China. Raja China memberitahu sekalian menteri bahawa sekiranya raja Suran datang menakluk negeri China maka binasalah sekalian negeri. Raja China meminta menteri-menteri bersepakat mencari jalan penyelesaian bagi permasalahan ini. Perdana Menteri tampil memberi cadangan iaitu dengan mempersiapkan sebuah pilau atau sampan yang besar dan di dalam sampan tersebut akan diisikan dengan jarum yang berkarat. Kemudian akan ditanam pohon-pohon kesmak  bersama pohon yang mempunyai buah-buahan. Akhir sekali , diambil beberapa orang tua yang sudah tertanggal gigi untuk berada di atas pilau tersebut. Perdana Menteri memesan supaya orang-orang tua tersebut berlayar ke Temasik.

Apabila tiba di Temasik, maka Raja Suran pun menitahkan supaya hulubalangnya pergi menyoal akan orang China tersebut tentang jarak untuk pergi ke negeri China. Maka orang-orang China tersebut mengatakan bahawa.jarak untuk ke negeri China dari Temasik sangatlah jauh. Semasa mereka keluar dari negeri China usia mereka ialah dua belas tahun. Pokok-pokok yang sudah berbuah itu asalnya ialah biji benih, dan jarum yang berkarat itu asalnya ialah besi yang sebesar lengan semasa mereka keluar daripada daripada negeri China. Keadaan ini melambangkan betapa jauhnya jarak untuk sampai ke negeri China. Raja Suran akhirnya mengambil keputusan untuk tidak menyerang negeri China dan baginda perintahkan supaya mereka berundur. Misalnya, petikan di bawah dapat menerangkan situasi hulubalang semasa menanyakan jarak negeri China dari Temasik.

Maka orang itu pun pergilah bertanya pada orang pilau itu. maka sahut China itu, “Tatkala kami keluar dari benua China, sekalian kami-kami ini sedang muda-muda belaka, baharu dua belas tahun umur kami, dan segala buah-buahan ini bijinya kami tanam, kami pun tualah, gigi kami semua pun habis tanggal; segala buah-buahan yang kami tanam itu berbuahlah, baharulah kami sampai ke mari.” Maka diambilnya jarum ada beberapa bilah itu, ditunjukkannya pada Keling itu, katanya, “Besi ini kami bawa ke mari dari benua China seperti lengan besarnya, sekarang inilah tinggalnya habis haus; demikianlah peri lamanya kami di jalan, tiadalah kami tahu akan bilangan tahunnya.”

                               Sejarah Melayu Sulalatus Salatin: 13 & 14

Di samping itu, terdapat pengembaraan Raja Suran ke dasar laut. Raja Suran  mengembara ke dasar laut kerana baginda sudah tahu akan isi di darat. Oleh itu, baginda ingin melihat ciptaan Allah S.W.T di laut pula. Pengembaraan itu telah membawa baginda sampai di sebuah negeri yang terletak di dasar laut iaitu negeri Dika. Sebelum baginda turun ke dasar laut, Raja Suran telah memerintahkan supaya dibuat sebuah peti yang boleh dikunci dari dalam sebagai kenderaannya untuk baginda mengembara. Setelah siap peti kaca tersebut dihasilkan, raja Suran pun masuk ke dalam peti dan menguncinya dari dalam dan kemudiannya peti tersebut ditenggelamkan ke dalam air. Kecantikan dan keindahan ciptaan Allah di dasar laut dapat dilihat dari dalam peti kaca. Baginda kemudiannya sampai di negeri Dika. Di situ terdapat suatu kaum yang bernama Bu Sum. Terdapat antara mereka yang beragama Islam dan selebihnya kafir. Orang-orang di situ tergamam melihat kehadiran Raja Suran dari segi gaya pakaiannya yang seperti anak raja. Oleh itu, Raja Suran dibawa bertemu dengan raja mereka iaitu Raja Aktabu’l –Ard. Raja Aktabu’l Ard menyakan asal usul Raja Suran. Raja Suran menjawab bahawa baginda berasal dari dalam dunia, raja segala manusia. Raja Akhtabu’l-Ard berasa kagum dengan jawapan Raja Suran lalu baginda mengangkat Raja Suran sebagai raja di kerajaannya. Pengembaraan  tersebut dapat dilihat dalam petikan seperti di bawah.

Maka Raja Suran pun keluarlah dri dalam peti itu, lalu berjalan melihat segala yang indah –indah; maka baginda bertemu dengansebuah negeri terlalu besar, lagi dengan teguhnya. Maka Raja Suran pun masuklah ke dalam negeri itu, maka melihat baginda dalam negeri itu suatu kaum Bu Sum namanya, terlalu amat banyak, tiada siapa mengetahui bilangan; tetapi mereka itu setengah Islam dan setengah kafir.
Sejarah Melayu Sulalatus Salatin: 14
3.      Pengembaraan ketiga-tiga putera Raja Suran ke Bukit Si Guntang Mahamiru
Perkahwinan Raja Suran dengan Tuan Puteri Mahtabu’l-Bahri anak Raja Akhtabu’l-Ard telah dikurniakan seramai tiga orang putera lelaki iaitu Nila Pahlawan, Krisyna Pandita dan Nila Utama. Ketiga-tiga orang putera ini telah dipelihara oleh nenda mereka iaitu Raja Akhtabu’l-Ard. Setelah mereka meningkat dewasa, Raja Akhtabu’l-Ard telah menceritakan pesanan Raja Suran iaitu ayahanda kepada cucunda-cucundanya supaya mereka dihantar ke dunia.  Nenda mereka memberitahu bahawa ayahanda mereka berasal dari keturunan Raja Iskandar Zul-Karnain, bernasab daripada nabi Sulaiman ‘alaihi s-salam, dan darah keturunan Nusyirwan Adil iaitu raja masyrik dan maghrib.
Setelah ketiga-tiga cucundanya mendengar pesanan yang ditinggalkan oleh ayahanda mereka Raja Suran, mereka berasa sukacita untuk merealisasikan tujuan tersebut dan menanyakan cara untuk ke dunia yang dimaksudkan itu. Raja Akhtabu’l-Ard memberi persalinan yang elengkapnya kepada ketiga-tiga cucunya itu kemudiannya mereka diberikan seekor lembu putih sebagai kenderaan untuk ke dunia.
Takdir Allah Subhanahu wa taala, setelah mereka sampai di Bukit Si Guntang, padi berbuahkan emas, daun menjadi perak dan batangnya bertukar menjadi suasa. Pengembaraan anak-anak raja Suran ke dunia telah menukarkan sawah padi menjadi keemas-emasan. Wan Empuk dan Wan Malini ialah penduduk asal di Bukit Si Guntang. Mereka menyedari perubahan sawah padi yang bertukar kepada warna keemas-emasan itu mengagak bahawa ketiga-tiga pemuda itu ialah anak raja.

Maka dilihatnya padinya berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan suasa. Maka kata Wan Empuk “ Yang bercahaya semalam rupanya padi kita ini berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan suasa ini.

                                                Sejarah Melayu Sulalatus Salatin: 20

Segala alat kebesaran diraja seperti curik, lembing dan pedang merupakan pemberian nenda mereka untuk mereka masing-masing. Ketiga-tiga anak raja ini menceritakan asal usul mereka daripada kisah Raja Iskandar menikahi anak Raja Kida Hindi sehinggalah Raja Suran turun ke dasar laut menikahi bonda mereka sehingga lahirnya ketiga-tiga zuriat Raja Suran ke dunia. Kisah ini telah dicatatkan oleh Wan Empuk. Sebagai bukti mereka berasal dari keturunan ini mereka telah menyatakan bahawa mahkota anugerah daripada ayahanda mereka beserta padi yang berbuahkan emas, berdaunkan perak, berbatangkan suasa dan tanah negara itu yang bertukar kepada keemas-emasan sebagai bukti mereka ialah keturunan pahlawan agung Iskandar Zul-Karnain. Misalnya petikan di bawah menjelaskan situasi cerita tersebut.

Maka Nila Pahlawan pun berceriteralah seperti ceritera ayahnya kepada Raja Akhtabu’l-Ard. Segala hikayat Raja Iskandar beristerikan anak Raja Kida Hindi, dan peri Raja Suran masuk ke dalam laut, dan peri duduk dengan bondanya beranakkan baginda ketiga bersaudara itu, semuanya dihikayatkannya kepada Wan Empuk dan Wan Malini maka kata Wan Empuk , “Apa alamatnya seperti kata tuan hamba itu,” maka sahut Nila Pahlawan, “ Mahkota kai bertiga inilah alamatnya; serta padi habis berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan suasa, dan tanah negara bukit ini menjadi seperti warna keemas-emasan. Jikalau Embuk tidak percaya, pandanglah alamat kai, anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain; pancar Sulaiman ‘alaihi s-salam.”
Sejarah Melayu Sulalatus Salatin: 39 & 40

4.      Pengenbaraan Tun Perpatih Putih sebagai utusan balasan Raja Melaka ke Negeri China

Tun Perpatih Putih dihantar oleh Sultam Mansur Syah ke China untuk membalas kiriman Raja China yang menghantar sebuah pilau yang sarat dipenuhi dengan jarum dengan balasan kiriman sagu yang telah diisi penuh dalam sebuah pilau. Sagu itu ialah perlambangan bahawa rakyat Melaka begitu banyak sekali kerana setiap biji sagu akan digelek oleh seorang rakyat. Perlambangan ini meyakinkan Raja China bahawa rakyat Melaka terlalu banyak sekaligus meletakkan Sultan Mahmud sebagai seorang penguasa yang hebat kerana mempunyai kerajaan yang besar.

Maka titah Raja China pada Tun Perpatih Putih, “ Bagaimana membuat dia in?” Maka sembah Tun Perpatih Putih, “ Digelek tuanku, pada seorang sebiji disuruhkan oleh raja kami pada seorang rakyat, hingga sarat sebuah pilau; demikianlah banyak rakyat raja kami, tiada seorang pun tahu akan bilangannya.” Maka titah Raja China, “ Besar raja Melaka itu, banyak sungguh rakyatnya, tiada berapa bezanya dengan rakyat kita.

                                               Sejarah Melayu Sulalatus Salatin:132

Pengembaraan Tun Perpatih Putih ini telah membawa kepada peristiwa penting iaitu semasa di istana Raja China, Tun Perpatih Putih diberi hidangan kangkung panjang atas permintaannya sebagai suatu helah untuk melihat wajah Raja China yang berada dalam mungkur kaca di mulut naga. Hal ini tercetus apabila Raja China menanyakan makanan kegemaran orang Melaka lalu Tun Perpatih Putih menjawab rakyat Melaka sangat suka memakan sayur kangkung yang tidak dikerat. Oleh itu, setelah kejadian itu, orang China turut memakan sayur kangkung yang tidak dikerat sepertimana orang Melaka makan kangkung.

Maka titah Raja China kepada Tun Perpatih Putih , “ Apa kegemaran orang Melaka?” Maka sebah Tun Perpatih Putih, “ Sayur kangkung tuanku, jangan dikerat-kerat, belah panjang-panjang, iaitulah kegemaran kami semua orang Melaka makan tuanku,” maka disuruh oleh Raja China sayur kan kangkung, seperti yang dikatakan oleh Tun Perpatih Putih itu. setelah sudah masak, dihantarkan dihadapan Tun Perpatih Putih; dan orang Melaka sekian kalinya pun membibit hujungnya sayur kangkung itu, serta menengadah, mengangakan mulutnya maka kelihatanlah Raja China duduk di atas kerusi dala mulut naga pada mungkur kacanya. Maka barulah dapat dipandang dengan nyata oleh orang Melaka Raja China itu. setelah sekalian China melihat orang Melaka makan sayur kangkung itu maka diturutnya. Sebab itulah orang China tahu makan sayur kangkung datang sekarang.

                                              Sejarah Melayu Sulalatus Salatin: 133


5.      Pengembaraan Tun Mamat untuk meminang Puteri Gunung Ledang.

Setelah Sultan Mahmud kematian isteri, baginda berhasrat untuk bernikah lagi. Namun, baginda tidak mahu mengahwini puteri-puteri kebanyakan seperti raja-raja lain lakukan. Baginda ingin meminang Puteri Gunung Ledang dan sebagai perutusan meminang, Tun Mamad, Hang Tuah dan Sang Setia dihantar bagi merealisasikan hasrat baginda. Sesampai di suatu kawasan, kebanyakan pengawal tidak berdaya untuk meneruskan perjalanan mendaki ke puncak Gunung Ledang. Oleh itu, Tun Mamad telah meneruskan perjalanan bersama beberapa orang pembantunya dan Hang Tuah dan Sang Setia menunggu di bawah. Ketika sampai di sebuah taman, Tun Mamad telah bertemu dengan berbagai-bagai perkara ajaib seperti pokok-pokok kayu yang dapat berlagu, bunga Tanjung Biru dan bunga-bunga lain dapat berkata-kata. Beliau juga menemui seorang tua bongkon tiga. Orang tua itu menyatakan hasrat dan permintaan puteri jelita itu kepada Sultan Mahmud.

Antara barang-barang hantaran yang diminta ialah tujuh dulang hati kuman, tujuh dulang hati nyamuk, setempayan air pinang muda, setempayan air mata, satu jambatan emas dan satu jambatan perak merentasi sari istana Melaka ke Gunung Ledang, darah raja dan putera raja semangkuk. Berikut ialah petikan yang menceritakan permintaan Puteri gunung Ledang kepada Sultan Mahmud.

Maka ia berkata pada Tun Mamad, “ Adapun segala kata tuan hamba itu sudahlah dipersembahkan oleh Dang Raya Rani pada tuan Puteri Gunung Ledang; akan titah tuan puteri, “ Jikalau raja Melaka hendakkan aku, perbuatkanlah aku jambatan emas satu dan jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang itu. Akan perminangannya hati nyamuk tujuh dulang; hati kuman tujuh dulang; air mata setempayan; air pinang muda setempayan; darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk. Jikalau ada demikian kabullah tuan puteri akan kehendak raja Melaka itu.” Setelah sudah ia berkata demikian lenyaplah ia.

                           Sejarah Melayu Sulalatus Salatin: 214 & 215





IDEALISME DAN FALSAFAH MELAYU



Idealisme dan falsafah merupakan dua elemen sastera yang saling bertentangan. Penggunaan kedua-dua elemen ini ke dalam sesuatu karya sastera, iaitu karya agung khususnya amat popular dalam kalangan pengkarya-pengkarya satu ketika dahulu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, idealisme bermaksud sifat melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal (2010: 558). Menurut W.F Hocking pula, idealisme merupakan realiti yang terdiri daripada idea-idea, fikiran-fikiran, akal (mind) atau jiwa (selves) dan bukanlah kekuatan atau kebendaan. Berdasarkan pendefinisian tersebut, jelas menunjukkan bahawa idealisme memerlukan daya imaginasi yang tinggi dan kreatif untuk menghasilkan sesuatu bentuk karya sastera.

      Bagi maksud falsafah pula, ia dimaksudkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu yang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 406). Ilmu yang dimaksudkan tersebut adalah pengetahuan yang amat luas kepada sesuatu bentuk hakikat yang mendasari kepada semua ilmu berkaitan dengan hal tersebut. Bagi Hashim Hj. Musa pula, falsafah disifatkan oleh beliau sebagai kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Pentakrifan yang dibuat oleh tokoh Melayu ini masih lagi berkisar mengenai cakupan keseluruhan ilmu dan bidang tentang pengetahuan manusia.

      Kedua-dua elemen ini diadaptasikan oleh tokoh-tokoh sastera ke dalam karya mereka untuk memperjelaskan lagi tujuan dan idea yang ingin disampaikan dalam sesuatu karya agung itu. Hal ini demikian kerana, elemen-elemen tersebut amat sesuai dan bertepatan dengan kehendak pembaca. Dalam pada itu, para pengkarya itu juga menerapkan kedua-dua elemen ini agar para pembaca dapat membuat penganalisisan tentang sesuatu karya tersebut dengan lebih mudah.

      Jelaslah bahawa penerapan idelisme dan falsafah dalam sesuatu karya agung amat diperlukan dalam pengoperasian sesuatu karya agung. Dalam pembicaraan yang dilaksanakan tertumpu kepada empat, iaitu idealisme bersumberkan alam, falsafah bahasa, falsafah Islam dan falsafah Melayu.


*Idealisme Bersumberkan Alam
Sesebuah karya seharusnya memiliki falsafah, pemikiran dan persoalan yang agung dan penting. Hal inilah yang disebutkan oleh tokoh pengkritik karya sastera, Greek Dionysus Cassius Longinus. Hal ini membuktikan bahawa sesebuah karya sastera, terutamanya karya agung pasti memiliki ciri pemikiran tertentu yang juga disebut sebagai idealisme. Seterusnya, idealisme yang akan dibincangkan dalam karya agung Melayu adalah idealisme karya yang bersumberkan alam. Perbincangan berdasarkan idealisme yang bersumberkan alam ini dapat dikategorikan kepada beberapa pecahan, misalnya berkaitan tumbuh-tumbuhan, haiwan, angkasa, sosialisasi dan sebagainya. Kehidupan manusia tidak lari daripada alam, malah banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan sebagai seorang manusia sering dikaitkan dan diumpamakan dengan alam ciptaan Tuhan, tidak kira dari segi tumbuhan, haiwan, angkasa, lautan mahupun hubungan antara masyarakat, iaitu sosialisasi.

         Hal ini banyak diungkapkan dalam karya-karya agung Melayu klasik. Mortimer Jerome Adler menyatakan, berdasarkan isu utama berkenaan tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia sebagai bentuk hidupan yang berkesinambungan atau jelas berbeza, maka kajian organisma haiwan – anatomi dan fisiologinya – memperoleh banyak kepentingannya (2007: 12).  Bukan sahaja pada satu bahagian, malah pada ketika menulis manusia juga tidak dapat lari dari dikaitkan dengan alam. Bagi membuktikan hal ini, jadual di bawah disediakan untuk memaparkan antara contoh karya agung yang penulisan, pemikiran atau idealismenya berhubungkait serta bersumberkan alam.


Sumber
Contoh
Lautan
“Maka Raja Suran fikir dalam hatinya, ‘Bahawa isi darat telah aku ketahuilah, dan segala isi laut bagaimana gerangan rupanya? Jika demikian, baik aku masuk ke dalam laut, supaya aku ketahui betapa halnya.’”
(Sulalat al-Salatin, 2003: 14)
Petikan ini menunjukkan bahawa penulis berasa perlu untuk memasukkan unsur alam dalam pengkaryaannya meskipun kadangkala dilihat hal itu tidaklah begitu penting. Hal ini membuktikan bahawa kaitan antara manusia dan alam seperti lautan juga adalah sesuatu yang dianggap sebagai keperluan.
Api dan air
“Bahawa demikianlah susahnya aku ini dipeliharakan oleh ibu bapaku: seperti meniup api dalam air, adanya.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 15)
Petikan ini pula menunjukkan terdapat penggunaan perumpamaan yang dikaitkan dengan kehidupan manusia melalui kepengarangan kisah hidup Abdullah yang ditulis oleh beliau sendiri.
Kaitan antara manusia
“Maka sebab itulah kata arif: Apabila engkau dapat wang, belikan emas; maka jualkan pula emas itu, belikan pula intan; maka jualkan pula intan itu, belikan manikam; jualkan pula manikam itu, belikan ilmu. Maka demikianlah besar kemuliaannya itu serta dengan teguh setianya kepada orang yang mendapat dia itu.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 20)
Dalam penulisan karyanya, Abdullah Munshi turut memasukkan kata-kata dari bijak pandai yang menunjukkan bahawa beliau mengambil tahu hal ini daripada orang yang lebih arif. Kebiasaannya juga, hal ini dikatakan oleh orang berilmu dan orang tua-tua kepada orang muda. Hal ini menunjukkan idealisme bersumberkan alam berkaitan hubungan sesama manusia dalam hidup bersosial.
Alam
“Maka adalah ia itu diumpamakan seperti suatu tiang batu adanya. Maka barang betapa berat ia ditanggungkan di atasnya, ditahannya juga. Maka jikalau sekiranya terlampau daripada adat beratnya itu, remuklah ia, patah sekali, tetapi tiada ia tahu melentur atau bongkok, seperti tiang kayu dan sebagainya.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 20)
Petikan ini juga menunjukkan pemikiran atau idealisme penulis karya agung dalam mengaitkan penulisannya dengan sumber alam di sekelilingnya.




*Falsafah Bersumberkan Islam


Falsafah karya agung terutamanya karya agung dunia Melayu turut diilhamkan oleh pengarangnya melalui agama Islam yang menjadi pegangan agama majoriti bangsa Melayu. Hal ini dibuktikan melalui sebuah buku daripada Yayasan Karyawan (2000: 13) yang menyatakan tiga faktor utama terhasilnya karya agung Melayu iaitu; a) kekuatan bahasa Melayu, b) pengaruh Islam, dan c) peranan istana dan sekolah pondok. Hal ini membuktikan bahawa falsafah yang terdapat dalam karya agung terdapat juga yang bersumberkan Islam, iaitu memperlihatkan keislaman dalam penghasilan karya.

      Setelah pengaruh agama Hindu menjadi pudar dalam diri masyarakat Melayu, munculnya Islam di dalam dunia Melayu. Sekitar abad ke-12 dan ke-13, beberapa buah kerajaan Melayu-Islam telah ditubuhkan di Perlak (Pasai). Perkara ini menyebabkan berakhirnya pengaruh kerajaan Melayu-Srivijaya yang pada masa tersebut masih dalam kekuatan pengaruh Hindu. Agama Islam seterusnya disebarkan secara meluas, bukan sahaja dalam kalangan alim ulama’ tetapi juga turut disebarkan kepada rakyat.

    Pada ketika ini dikatakan masyarakat Melayu masih menggunakan bahasa lisan sehinggalah tiba suatu ketika apabila masyarakat Melayu sudah mula mempelajari abjad Arab untuk menulis bahasa Melayu. Dengan bermulanya perkembangan tulisan ini, bermulanya suatu zaman baru dalam dunia Melayu, iaitu zaman perkembangan ilmu dan pemikiran yang didasarkan kepada ajaran agama, iaitu tauhid dan pandangan Islam sejagat. Hal ini juga dapat dikaitkan dengan istana kerajaan Melayu-Islam pada zaman tersebut yang menjadi pendukung kepada kegiatan penulisan yang membentuk warisan bangsa.

       Kitab al-Qur’an merupakan sumber utama kepada falsafah Islam kerana al-Qur’an adalah kitab petunjuk dan rahmat buat sekalian alam. Mohd Rashid Md Idris ada menyatakan bahawa al-Qur’an itu adalah kitab yang Haq dari yang maha Haq, tiada keraguan, tiada kebengkokan, tiada kesilapan dan kesalahan, tiada percanggahan dan pertentangan, kitab yang terpelihara, kitab yang diberkati, kitab yang menjadi cahaya dan penghidup jiwa, kitab yang menjadi penjelas dan penerang, kitab yang menjadi penawar dan pengubat jiwa, dan kitab yang menjadi pemutus kata (2007: 53).

     Hal ini membuktikan bahawa Islam dan falsafahnya memberikan seratus peratus keyakinan kepada penganut agamanya. Hal ini juga menyebabkan masyarakat Melayu-Islam sejak dahulu sangat yakin akan kebaikan menurut ajaran seperti yang dinyatakan dalam agamanya. Dengan itu, tidak hairanlah di dalam penulisan pengkarya klasik dahulu kala terutamanya mereka yang beragama Islam seperti Nuruddin al-Raniri, Tun Sri Lanang, Raja Ali Haji, Munshi Abdullah dan tokoh-tokoh yang lain suka untuk mencetuskan pemikiran berasaskan falsafah Islam dalam karya mereka.

    Hal ini dapat dilihat dalam contoh yang terdapat dalam penghasilan karya Sulalat al-Salatin karya Tun Sri Lanang. Agama Islam menyarankan seseorang rakyat untuk mentaati pemerintahnya selagi pemerintah tersebut tidak berlaku zalim. Kesetiaan seorang rakyat kepada sultan ini dibuktikan melalui penghasilan karya Sulalat al-Salatin yang merupakan titah sultan kepada seorang pengarang, iaitu Tun Sri Lanang. Titah tersebut dinyatakan dalam karya Sulalat al-Salatin yang berbunyi;

“diperbuatkan hikayat [….] perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya, supaya didengar oleh anak cucu kita yang kemudian dari kita dan diketahuinyalah segala perkataan, syahadan beroleh faedahlah mereka itu daripadanya”
                
                                 (Sulalat al-Salatin, edisi Karya Agung, 1993: 3)


Pengarang menunjukkan ketaatan dengan menjunjung perintah sultan yang membawa kepada keberlanjutan warisan sejarah bangsa kepada generasi terkemudian. Hal ini dibuktikan melalui tulisan pengarang dalam kitab ini juga, iaitu;

“Maka fakir karanglah hikayat ini [….] dan fakir himpunkan daripada segala riwayat orang tuha-tuha dahulu kala supaya akan menyukakan duli hadhrat baginda”        
     
                                 (Sulalat al-Salatin, edisi Karya Agung, 1993: 4)


Selain itu, terdapat juga karya-karya agung lain yang menerapkan unsur keislaman ini. Misalnya dalam karya Hikayat Abdullah hasil karangan Abdullah Abdul Kadir Munshi, pendidikannya sedari kecil sangat menitikberatkan hal-hal keagamaan dan keilmuan. Hal ini dapat dilihat berdasarkan petikan daripada karya tersebut, iaitu;

“Adapun ilmu dan kepandaian itu menjadi tangga kepada pangkat kekayaan, dan kekayaan itu membawa kepada kebesaran. Maka bahawasanya segala benda yang dijadikan Allah dalam dunia itu masing-masing adalah dengan harganya, iaitu dapat dinilaikan oleh manusia melainkan ilmu itulah sahaja yang tiada ternilai oleh manusia akan harganya.”

                                                             (Hikayat Abdullah, 2004: 19)

Petikan di atas menunjukkan ciri falsafah Islam apabila segala yang dinyatakan berbalik kembali kepada kepercayaan dan kepatuhan terhadap kata-kata Allah. Selain itu, menuntut ilmu juga adalah perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Hal ini terbukti melalui kata hikmah yang berbunyi “sesuatu amal seharusnya didahului dengan ilmu”. Kata-kata ini adalah antara kata-kata yang ditekankan dalam agama Islam.


*Falsafah Bersumberkan Melayu

Kehidupan masyarakat Melayu tidak boleh terlepas daripada peraturan dan disiplin. Oleh yang demikian, mereka menerapkan unsur tersebut di dalam karya mereka. Misalnya, mereka menekankan konsep budi dalam kehidupan mereka. Konsep budi tersebut pula terbahagi kepada lima, iaitu budi bahasa, budi pekerti, budi bicara, hati budi dan akal budi (Mohd Rashid Mohd Idris, 2011: 63). Penerapan unsur-unsur tersebut dapat diperhatikan dalam contoh yang berikut:


1)Budi bahasa

Budi bahasa dan budi bicara yang mulia merujuk kepada pertuturan yang manis, sopan, positif, bijaksana, bernas dan penuh pengajaran, serta memberikan sumbangan kepada khalayak dan pendengarnya (Mohd Rashid Idris, 2011: 64). Contoh penerapan unsur ini dalam karya agung dapat dilihat dalam contoh di bawah:
“Pada masa itulah wafat Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani iaitu pada malam Isnin 12 haribulan Rejab, pada Hijrah 1039 tahun, bahawa Syeikh itu alim pada segala ilmu tasawuf dan beberapa kitab yang ditaklifkannya.”
                                     
                                                      (Sumber: Bustan al-Salatin, 1992)

      Ini menunjukkan bahawa Nuruddin adalah seorang individu yang mempunyai budi bahasa yang tinggi. Hal ini demikian kerana walaupun beliau bertelagah dengan Syamsuddin, beliau tetap menghormatinya sebagai seorang ulama dan manusia biasa. Ungkapan yang dinyatakan oleh Nuruddin adalah satu pengiktirafan oleh beliau terhadap kewibawaan ulama tersebut.


2)Budi Pekerti

Bagi gagasan budi pekerti, ia lebih terarah kepada akhlak seseorang itu. Namun demikian, unsur kesantunan masih lagi menjadi akar kepada setiap perlakuan yang dihasilkan oleh seseorang individu itu. Menurut Mohd Rashid Md. Idris (2011), budi pekerti adalah satu aspek atau tingkah laku seseorang yang dinilai oleh masyarakat dari sudut baik dan buruk, atau halus dan kasar. Kelakuan tersebut merangkumi kelakuan yang bersopan-santun, tertib dan sebagainya. Nilai ini dapat diperhatikan dalam Syair Ken Tambuhan seperti contoh di bawah:

Jika ia dikasihi raja,
Tiadalah ia melanja-lanja,
Tiadalah menyombong pada bekerja,
Dengan taulannya bersamaan sahaja.          
                                                         (Sumber: Syair Ken Tambuhan)

       Dalam petikan di atas, diperlihatkan sifat raja yang mengasihi rakyat dan melayan mereka sama rata. Hal ini demikian kerana, kebanyakan raja pada zaman dahulu kebiasaannya mementingkan kedudukan dan memandang rendah terhadap rakyat. Oleh yang demikian, dalam syair tersebut ditekankan sikap raja yang amat mengasihi rakyat dengan menunjukkan budi pekerti yang baik.


3)Budi Bicara

Pendefinisian budi yang seterusnya pula lebih cenderung kepada unsur toleransi dan tolak ansur dalam setiap perbuatan. Hal ini demikian kerana, kehidupan bermasyarakat yang mementingkan nilai kerjasama bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan aman. Dalam karya agung Syair Ken Tambuhan dinyatakan bahawa Raden Menteri seorang suami yang sanggup mencari buah pauh janggi keinginan isterinya yang sedang mengidam. Walaupun hatinya berat untuk meninggalkan isterinya yang berbadan dua, namun kerana kasih dan kasihan kepada isterinya, dia sanggup menghadapi sebarang bahaya. Justeru, sewaktu dia meninggalkan isterinya dan istana, dia berpesan dengan pesanan seperti berikut;

Ia berkata kepada ayah dan bonda,
Puteri sekalian putera anakanda,
Jikalau ada satu bahaya anakanda,
Puteri sekalian putera anakanda. 
     
                                                       (Naskah koleksi DBP: 133/2011)

Petikan yang dinyatakan telah mencerminkan kepada pembaca bahawa nilai budi bicara ini amat dekat dalam kehidupan masyarakat Melayu pada ketika dahulu. Malahan nilai ini turut diterapkan dalam kehidupan berkeluarga khususnya.


4)Hati Budi

Hati budi pula bolehlah dikaitkan dengan istilah hati yang baik atau baik hati. Untuk melahirkan hati yang baik, seseorang itu perlu diasuh sejak kecil kerana kesucian hati akan menentukan perlakuan yang baik, tingkah laku yang bersopan dan akan dihindari daripada segala sifat-sifat yang negatif dan buruk. Aspek ini juga tidak lupa diterapkan dalam karya klasik Melayu. Sebagai contoh, ia dapat dilihat dalam petikan karya Bustan al-Salatin;

“kemudian dari itu maka kerajaan Sultan Hussain ibn Sultan Alaudin yang bergelar Sultan Ali Riayat Syah, pada hari ahad, sehari bualn Safar. Ialah sangat halm perangainya dan pengasih akan segala rakyatnya akan segala ulama, syfakat akan segala fakir dan miskin.”

(Sumber: Bustan al-Salatin (selenggaraan) Siti Hawa Hj Salleh, 1992)

Petikan di atas menggambarkan seorang raja yang yang mempunyai hati budi yang baik yang mana beliau sangat mengasihi rakyat jelatanya walaupun beliau terdiri daripada golongan raja. Beliau sanggup menderma kepada rakyat yang memerlukan. Beliau amat mengasihi rakyat jelata sehinggakan segala kesusahan rakyat diambil tahu.


5)Akal Budi

Pertimbangan akal sangat diperlukan dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, melalui pertimbangan akal budi yang mementingkan kewarasan fikiran ini akan menentukan sikap seseorang itu sama ada mampu untuk bertanggungjawab dengan setiap perkara yang dilakukannya ataupun tidak. Kebiasaannya dalam masyarakat dahulu nilai ini sangat dipentingkan supaya seseorang individu itu mampu untuk mengurus diri, keluarga dan juga masyarakat. Nilai ini ada diselitkan dalam karya agung yang terdahulu. Contohnya dalam petikan yang berikut:

Namanya Raden Puspa Kencana,
Lakunya bijak laksana,
Akal bicaranya amat sempurna,
Sifatnya lengkap hamba laksana

                                            (Sumber: Syair Ken Tambuhan, 2002: 5)

Pengarang menerangkan dalam syair tersebut berkaitan watak Raden Puspa Kencana yang sangat bijak dan cerdik. Hal ini terbukti apabila penyair menyatakan bahawa tidak ada seorang yang dapat mengalahkan beliau jika diajak untuk lawan berdebat. Nilai ini diselitkan dalam syair tersebut supaya mereka mencontohi sikap Raden Puspa Kencana yang bijak bagi mengelakkan diri daripada ditindas oleh orang lain.


*Falsafah Bahasa
*Konsep

Falsafah bahasa merupakan gabungan dua perkataan, iaitu falsafah dan bahasa. Namun kedua-dua entiti ini membawa kepada pemaknaan yang berbeza sama sekali. Falsafah merupakan gabungan dua kata, iaitu istilah Yunani philo (cinta) dan sophos (hikmat). Kebenaran dan keutamaan kata yang dibawa oleh Phytogras ini dapat disimpulkan sebagai pencinta kebijaksanaan. Bagi pendefinisian bahasa pula, merujuk kepada sistem lambang dan bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (Kamus Dewan Edisi keempat, 2010: 106).

        Bagi Von Humboldt, iaitu seorang sarjana Jerman bahasa didefinisikan sebagai sintesis bunyi (dalam Mohd Rashid Md Idris, 2012: 8). Melalui pentakrifan yang dibuat dapat dinyatakan kesimpulan bahawa bahasa adalah satu medium yang diguna pakai oleh masyarakat untuk menyampaikan konsep atau lebih tepat lagi untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Namun demikian, penggabungan kedua-dua elemen ini dapat membawa kepada sesuatu bentuk pengetahuan yang lebih unggul. Menurut Hashim Hj, Musa (1996), bidang falsafah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu falsafah linguistik dan falsafah bahasa. Pembicaraan tentang falsafah linguistik merangkumi kepada cakupan dasar falsafah dalam konsep dan istilah linguistik. 

         Hal ini merujuk kepada penelitian tentang kaedah dan amalan yang digunakan oleh ahli-ahli linguistik deskriptif dalam disiplin mereka (Mohd Rashid Md Idris, 2012: 9). Bagi falsafah bahasa pula, aspek ini meneliti dan memeriksa berasaskan falsafah pengetahuan yang dipanggil conceptual knowledge atau ilmu dalam bentuk konsepsi, yang wujud dalam fikiran secara ilmu (knowledge), logik dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, dapat dirumuskan bahawa falsafah bahasa merupakan bidang yang menelusuri tentang sesuatu aspek bahasa dengan menggunakan konsep pengetahuan dan penggunaan dasar yang lebih mendalam bagi mencari kebenaran dalam setiap aspek yang ingin dikaji.

*Teori Falsafah Bahasa 

Dalam falsafah bahasa ini, terdapat satu gagasan teori yang dikaji oleh Mohd Rashid Md Idris, iatu teori falsafah bahasa yang menggabungkan dua teori lain. Teori yang dimaksudkan adalah teori relatif dan teori kenuranian bahasa. Menurut beliau, manusia mempunyai bahasa dan dapat berfikir tetapi binatang tidak, kecuali dalam bentuk yang amat primitif dan erat hubungannya dengan naluri binatang tersebut. Beliau menegaskan bahawa manusia dianugerahi Allah S.W.T dengan bahasa dan akal semata-mata untuk mengangkat martabat manusia sebagai makhluk ciptaan yang sebaik-baik kejadian. Oleh yang demikian, beliau menggunakan kerelevanan idea tersebut untuk menggabungkan kedua-dua teori tersebut kerana berpendapat kedua-dua unsur tersebut tidak boleh difikirkan secara terpisah.

Dalam teori yang digunakan oleh beliau, terdapat tiga bahagian yang dikemukakan, iaitu bulatan, anak panah (dua hala) dan garisan putus-putus. Bahagian ini dapat dijelaskan dalam rajah di bawah:
                  

               Rajah 1: Model Falsafah Bahasa
Berdasarkan rajah di atas, tiga aspek yang ditonjolkan adalah bulatan yang bermaksud keadaan yang mana memerlukan manusia untuk berbahasa secara sempurna, iaitu dari aspek nahu, makna dan tujuannya. Bahagian kedua pula adalah anak panah (dua hala) yang menggambarkan wujudnya hubungan langsung secara tersurat antara penutur dan pendengar. Aspek yang terakhir adalah garisan putus-putus yang memaparkan hubungan secara tersirat antara manusia dengan Maha Pencipta, iaitu Allah (Mohd Rashid Idris, 2012: 43).

*Prinsip Asas Pertama Dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa Mengikut Nahu

Secara umumnya, aspek ini menekankan tentang aspek tatabahasa dan makna ketika seseorang penutur itu berbahasa. Misalnya dalam karya agung Melayu yang menggunakan  bahasa untuk menyatakan sesuatu gambaran tentang kehidupan masyarakat Melayu. Dalam sejarah Melayu misalnya, menceritakan tentang kemasukan agama Islam ke Melaka, Sultan Muhammad Syah mengambil berat tentang tiga daripada lima Rukun Islam (Haron Daud, 1989: 45). Contohnya:

“Hatta, maka hari pun asarlah; maka datanglah kapal dari Judah. Serta ia… lalu ia bersembahayang di pantai Melaka itu.”

Petikan tersebut menggambarkan Saiyid Abdul Aziz mendirikan sembahyang dan mendapat perhatian ramai. Penulis memfokuskan kepada makna yang sempurna daripada petikan ayat tersebut yang menggambarkan perlakuan tersebut untuk menyedarkan tentang kepentingan menunaikan solat.


*Prinsip Asas Pertama Dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa untuk Menyampaikan Maklumat yang Benar

Dalam berbahasa, penutur haruslah menyampaikan sesuatu maklumat yang benar dan tidak berbaur fitnah.  Misalnya dalam sejarah Melayu, yang mana Hang Tuah difitnah oleh pembesar lain sehinggakan Hang Tuah dijatuhkan hukuman bunuh. Dalam hal ini, pemfitnah tidak akan memperolehi sebarang kebaikan malahan hanya akan merugikan diri sendiri. Malah Allah juga ada berfirman:

“Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar”                                                                

                   (dalam Mohd Rashid Mohd Idris surah al-Ahzab 33: 70)


*Penutup
Rumusannya, setiap karya atau penulisan pastinya mempunyai idealisme dan falsafahnya yang tersendiri. Hal ini berkait rapat dengan diri seseorang penulis itu sendiri. Setiap penulis mempunyai kecenderungan tersendiri untuk mengaitkan penulisannya dengan falsafah dan pemikiran tertentu, misalnya berkaitan dengan idealisme bersumberkan alam, falsafah bersumberkan Islam, falsafah bersumberkan Melayu mahu pun falsafah bahasa. Raja Ali Haji misalnya berkecenderungan mengaitkan penulisannya dengan Islam, manakala Abdullah Munshi pula biasanya menulis karya yang tidak lari daripada bahasa dan alam, iaitu dari aspek sosialisasi dan pelbagai lagi kecenderungan penulisan dalam menyampaikan falsafah dan pemikiran mereka dalam penulisan. Segalanya berkaitan dengan kehidupan manusia dan tidak lari dari dimasukkan unsurnya di dalam sebuah penulisan yang menarik dan berkesan. 






Sumber:


A. Samad Ahmad, 2003. Edisi Pelajar Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah bin Abdul Kadir munsyi (diperkenalkan oleh Kassim Ahmad), 2004. Hikayat Abdullah. Selangor Darul Ehsan: Utusan Printcorp Sdn. Bhd.
Mohd Rashid Md Idris (2012). Teori Falsafah Bahasa (Teori Rashid). Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris
Mortimer Jerome Adler, 2007. Sebuah Leksikon Pemikiran Barat Gagasan Agung. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Haron Daud  (1989). Sejarah Melayu: Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya. Dewan Bahasa Dan Pustaka: Selangor.
Hashim Hj. Musa (1994). Pengantar Falsafah Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Raja Ali Haji (Dikaji dan Diperkenalkan Oleh: Hashim Musa), 2010. Kitab Pengetahuan Bahas Yayasan Karyawan: Kuala Lumpur
Siti Hawa Haji Salleh (Penyelenggara), 1992. Bustan Al-Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syair Ken Tambuhan.Dikaji Oleh: Nuruddin Alraniri.Noriah Mohamed Et.Al:Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan Dan Dewan Bhasa Pustaka
Ungku Abdul Aziz Ungku Abd Hamid.( 2011). Pantun Dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu. Dewan Bahasa Dan Pustaka: Kuala Lumpur.
W. G Shellbear, 1975. Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd