Idealisme dan
falsafah merupakan dua elemen sastera yang saling bertentangan. Penggunaan
kedua-dua elemen ini ke dalam sesuatu karya sastera, iaitu karya agung
khususnya amat popular dalam kalangan pengkarya-pengkarya satu ketika dahulu.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, idealisme bermaksud sifat melihat atau
mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal (2010: 558). Menurut W.F
Hocking pula, idealisme merupakan realiti yang terdiri daripada idea-idea,
fikiran-fikiran, akal (mind) atau jiwa (selves) dan
bukanlah kekuatan atau kebendaan. Berdasarkan pendefinisian tersebut, jelas
menunjukkan bahawa idealisme memerlukan daya imaginasi yang tinggi dan kreatif
untuk menghasilkan sesuatu bentuk karya sastera.
Bagi
maksud falsafah pula, ia dimaksudkan sebagai pengetahuan tentang pengertian
yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu
yang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 406). Ilmu yang dimaksudkan
tersebut adalah pengetahuan yang amat luas kepada sesuatu bentuk hakikat yang
mendasari kepada semua ilmu berkaitan dengan hal tersebut. Bagi Hashim Hj. Musa
pula, falsafah disifatkan oleh beliau sebagai kajian secara renungan dan
spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang
menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Pentakrifan yang
dibuat oleh tokoh Melayu ini masih lagi berkisar mengenai cakupan keseluruhan
ilmu dan bidang tentang pengetahuan manusia.
Kedua-dua
elemen ini diadaptasikan oleh tokoh-tokoh sastera ke dalam karya mereka untuk
memperjelaskan lagi tujuan dan idea yang ingin disampaikan dalam sesuatu karya
agung itu. Hal ini demikian kerana, elemen-elemen tersebut amat sesuai dan
bertepatan dengan kehendak pembaca. Dalam pada itu, para pengkarya itu juga
menerapkan kedua-dua elemen ini agar para pembaca dapat membuat penganalisisan
tentang sesuatu karya tersebut dengan lebih mudah.
Jelaslah
bahawa penerapan idelisme dan falsafah dalam sesuatu karya agung amat
diperlukan dalam pengoperasian sesuatu karya agung. Dalam pembicaraan yang
dilaksanakan tertumpu kepada empat, iaitu idealisme bersumberkan alam, falsafah
bahasa, falsafah Islam dan falsafah Melayu.
*Idealisme
Bersumberkan Alam
Sesebuah karya
seharusnya memiliki falsafah, pemikiran dan persoalan yang agung dan penting.
Hal inilah yang disebutkan oleh tokoh pengkritik karya sastera, Greek Dionysus
Cassius Longinus. Hal ini membuktikan bahawa sesebuah karya sastera,
terutamanya karya agung pasti memiliki ciri pemikiran tertentu yang juga
disebut sebagai idealisme. Seterusnya, idealisme yang akan dibincangkan dalam
karya agung Melayu adalah idealisme karya yang bersumberkan alam. Perbincangan
berdasarkan idealisme yang bersumberkan alam ini dapat dikategorikan kepada
beberapa pecahan, misalnya berkaitan tumbuh-tumbuhan, haiwan, angkasa,
sosialisasi dan sebagainya. Kehidupan manusia tidak lari daripada alam, malah
banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan sebagai seorang manusia sering
dikaitkan dan diumpamakan dengan alam ciptaan Tuhan, tidak kira dari segi
tumbuhan, haiwan, angkasa, lautan mahupun hubungan antara masyarakat, iaitu
sosialisasi.
Hal ini banyak
diungkapkan dalam karya-karya agung Melayu klasik. Mortimer Jerome Adler
menyatakan, berdasarkan isu utama berkenaan tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia
sebagai bentuk hidupan yang berkesinambungan atau jelas berbeza, maka kajian
organisma haiwan – anatomi dan fisiologinya – memperoleh banyak kepentingannya
(2007: 12). Bukan sahaja pada satu bahagian, malah pada ketika
menulis manusia juga tidak dapat lari dari dikaitkan dengan alam. Bagi
membuktikan hal ini, jadual di bawah disediakan untuk memaparkan antara contoh
karya agung yang penulisan, pemikiran atau idealismenya berhubungkait serta
bersumberkan alam.
Sumber
|
Contoh
|
Lautan
|
“Maka Raja Suran fikir dalam hatinya,
‘Bahawa isi darat telah aku ketahuilah, dan segala isi laut bagaimana
gerangan rupanya? Jika demikian, baik aku masuk ke dalam laut, supaya aku
ketahui betapa halnya.’”
(Sulalat al-Salatin, 2003: 14)
Petikan ini menunjukkan bahawa penulis berasa
perlu untuk memasukkan unsur alam dalam pengkaryaannya meskipun kadangkala
dilihat hal itu tidaklah begitu penting. Hal ini membuktikan bahawa kaitan
antara manusia dan alam seperti lautan juga adalah sesuatu yang dianggap
sebagai keperluan.
|
Api dan air
|
“Bahawa demikianlah susahnya aku ini
dipeliharakan oleh ibu bapaku: seperti meniup api dalam air, adanya.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 15)
Petikan ini pula menunjukkan terdapat penggunaan
perumpamaan yang dikaitkan dengan kehidupan manusia melalui kepengarangan
kisah hidup Abdullah yang ditulis oleh beliau sendiri.
|
Kaitan antara manusia
|
“Maka sebab itulah kata arif: Apabila
engkau dapat wang, belikan emas; maka jualkan pula emas itu, belikan pula
intan; maka jualkan pula intan itu, belikan manikam; jualkan pula manikam
itu, belikan ilmu. Maka demikianlah besar kemuliaannya itu serta dengan teguh
setianya kepada orang yang mendapat dia itu.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 20)
Dalam penulisan karyanya, Abdullah Munshi turut
memasukkan kata-kata dari bijak pandai yang menunjukkan bahawa beliau
mengambil tahu hal ini daripada orang yang lebih arif. Kebiasaannya juga, hal
ini dikatakan oleh orang berilmu dan orang tua-tua kepada orang muda. Hal ini
menunjukkan idealisme bersumberkan alam berkaitan hubungan sesama manusia
dalam hidup bersosial.
|
Alam
|
“Maka adalah ia itu diumpamakan
seperti suatu tiang batu adanya. Maka barang betapa berat ia ditanggungkan di
atasnya, ditahannya juga. Maka jikalau sekiranya terlampau daripada adat beratnya
itu, remuklah ia, patah sekali, tetapi tiada ia tahu melentur atau bongkok,
seperti tiang kayu dan sebagainya.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 20)
Petikan ini juga menunjukkan pemikiran atau
idealisme penulis karya agung dalam mengaitkan penulisannya dengan sumber
alam di sekelilingnya.
|
*Falsafah Bersumberkan Islam
Falsafah karya
agung terutamanya karya agung dunia Melayu turut diilhamkan oleh pengarangnya
melalui agama Islam yang menjadi pegangan agama majoriti bangsa Melayu. Hal ini
dibuktikan melalui sebuah buku daripada Yayasan Karyawan (2000: 13) yang
menyatakan tiga faktor utama terhasilnya karya agung Melayu iaitu; a) kekuatan
bahasa Melayu, b) pengaruh Islam, dan c) peranan istana dan sekolah pondok. Hal
ini membuktikan bahawa falsafah yang terdapat dalam karya agung terdapat juga
yang bersumberkan Islam, iaitu memperlihatkan keislaman dalam penghasilan
karya.
Setelah pengaruh
agama Hindu menjadi pudar dalam diri masyarakat Melayu, munculnya Islam di
dalam dunia Melayu. Sekitar abad ke-12 dan ke-13, beberapa buah kerajaan
Melayu-Islam telah ditubuhkan di Perlak (Pasai). Perkara ini menyebabkan
berakhirnya pengaruh kerajaan Melayu-Srivijaya yang pada masa tersebut masih
dalam kekuatan pengaruh Hindu. Agama Islam seterusnya disebarkan secara meluas,
bukan sahaja dalam kalangan alim ulama’ tetapi juga turut disebarkan kepada
rakyat.
Pada ketika ini
dikatakan masyarakat Melayu masih menggunakan bahasa lisan sehinggalah tiba
suatu ketika apabila masyarakat Melayu sudah mula mempelajari abjad Arab untuk
menulis bahasa Melayu. Dengan bermulanya perkembangan tulisan ini, bermulanya
suatu zaman baru dalam dunia Melayu, iaitu zaman perkembangan ilmu dan
pemikiran yang didasarkan kepada ajaran agama, iaitu tauhid dan pandangan Islam
sejagat. Hal ini juga dapat dikaitkan dengan istana kerajaan Melayu-Islam pada
zaman tersebut yang menjadi pendukung kepada kegiatan penulisan yang membentuk
warisan bangsa.
Kitab al-Qur’an
merupakan sumber utama kepada falsafah Islam kerana al-Qur’an adalah kitab
petunjuk dan rahmat buat sekalian alam. Mohd Rashid Md Idris ada menyatakan
bahawa al-Qur’an itu adalah kitab yang Haq dari yang maha Haq, tiada keraguan,
tiada kebengkokan, tiada kesilapan dan kesalahan, tiada percanggahan dan
pertentangan, kitab yang terpelihara, kitab yang diberkati, kitab yang menjadi
cahaya dan penghidup jiwa, kitab yang menjadi penjelas dan penerang, kitab yang
menjadi penawar dan pengubat jiwa, dan kitab yang menjadi pemutus kata (2007:
53).
Hal ini
membuktikan bahawa Islam dan falsafahnya memberikan seratus peratus keyakinan
kepada penganut agamanya. Hal ini juga menyebabkan masyarakat Melayu-Islam
sejak dahulu sangat yakin akan kebaikan menurut ajaran seperti yang dinyatakan
dalam agamanya. Dengan itu, tidak hairanlah di dalam penulisan pengkarya klasik
dahulu kala terutamanya mereka yang beragama Islam seperti Nuruddin al-Raniri,
Tun Sri Lanang, Raja Ali Haji, Munshi Abdullah dan tokoh-tokoh yang lain suka
untuk mencetuskan pemikiran berasaskan falsafah Islam dalam karya mereka.
Hal ini dapat
dilihat dalam contoh yang terdapat dalam penghasilan karya Sulalat al-Salatin
karya Tun Sri Lanang. Agama Islam menyarankan seseorang rakyat untuk mentaati
pemerintahnya selagi pemerintah tersebut tidak berlaku zalim. Kesetiaan seorang
rakyat kepada sultan ini dibuktikan melalui penghasilan karya Sulalat
al-Salatin yang merupakan titah sultan kepada seorang pengarang, iaitu Tun Sri
Lanang. Titah tersebut dinyatakan dalam karya Sulalat al-Salatin yang berbunyi;
“diperbuatkan
hikayat [….] perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya, supaya
didengar oleh anak cucu kita yang kemudian dari kita dan diketahuinyalah segala
perkataan, syahadan beroleh faedahlah mereka itu daripadanya”
(Sulalat
al-Salatin, edisi Karya Agung, 1993: 3)
Pengarang
menunjukkan ketaatan dengan menjunjung perintah sultan yang membawa kepada
keberlanjutan warisan sejarah bangsa kepada generasi terkemudian. Hal ini
dibuktikan melalui tulisan pengarang dalam kitab ini juga, iaitu;
“Maka
fakir karanglah hikayat ini [….] dan fakir himpunkan daripada segala riwayat
orang tuha-tuha dahulu kala supaya akan menyukakan duli hadhrat
baginda”
(Sulalat
al-Salatin, edisi Karya Agung, 1993: 4)
Selain itu,
terdapat juga karya-karya agung lain yang menerapkan unsur keislaman ini. Misalnya
dalam karya Hikayat Abdullah hasil karangan Abdullah Abdul Kadir Munshi,
pendidikannya sedari kecil sangat menitikberatkan hal-hal keagamaan dan
keilmuan. Hal ini dapat dilihat berdasarkan petikan daripada karya tersebut,
iaitu;
“Adapun
ilmu dan kepandaian itu menjadi tangga kepada pangkat kekayaan, dan kekayaan
itu membawa kepada kebesaran. Maka bahawasanya segala benda yang dijadikan
Allah dalam dunia itu masing-masing adalah dengan harganya, iaitu dapat
dinilaikan oleh manusia melainkan ilmu itulah sahaja yang tiada ternilai oleh
manusia akan harganya.”
(Hikayat
Abdullah, 2004: 19)
Petikan di atas
menunjukkan ciri falsafah Islam apabila segala yang dinyatakan berbalik kembali
kepada kepercayaan dan kepatuhan terhadap kata-kata Allah. Selain itu, menuntut
ilmu juga adalah perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Hal ini terbukti
melalui kata hikmah yang berbunyi “sesuatu amal seharusnya didahului dengan
ilmu”. Kata-kata ini adalah antara kata-kata yang ditekankan dalam agama Islam.
*Falsafah
Bersumberkan Melayu
Kehidupan
masyarakat Melayu tidak boleh terlepas daripada peraturan dan disiplin. Oleh
yang demikian, mereka menerapkan unsur tersebut di dalam karya mereka.
Misalnya, mereka menekankan konsep budi dalam kehidupan mereka. Konsep budi
tersebut pula terbahagi kepada lima, iaitu budi bahasa, budi pekerti, budi
bicara, hati budi dan akal budi (Mohd Rashid Mohd Idris, 2011: 63). Penerapan
unsur-unsur tersebut dapat diperhatikan dalam contoh yang berikut:
1)Budi
bahasa
Budi bahasa dan
budi bicara yang mulia merujuk kepada pertuturan yang manis, sopan, positif,
bijaksana, bernas dan penuh pengajaran, serta memberikan sumbangan kepada
khalayak dan pendengarnya (Mohd Rashid Idris, 2011: 64). Contoh penerapan unsur
ini dalam karya agung dapat dilihat dalam contoh di bawah:
“Pada
masa itulah wafat Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani iaitu pada malam Isnin 12
haribulan Rejab, pada Hijrah 1039 tahun, bahawa Syeikh itu alim pada segala
ilmu tasawuf dan beberapa kitab yang ditaklifkannya.”
(Sumber: Bustan
al-Salatin, 1992)
Ini menunjukkan
bahawa Nuruddin adalah seorang individu yang mempunyai budi bahasa yang tinggi.
Hal ini demikian kerana walaupun beliau bertelagah dengan Syamsuddin, beliau
tetap menghormatinya sebagai seorang ulama dan manusia biasa. Ungkapan yang
dinyatakan oleh Nuruddin adalah satu pengiktirafan oleh beliau terhadap
kewibawaan ulama tersebut.
2)Budi
Pekerti
Bagi gagasan
budi pekerti, ia lebih terarah kepada akhlak seseorang itu. Namun demikian,
unsur kesantunan masih lagi menjadi akar kepada setiap perlakuan yang
dihasilkan oleh seseorang individu itu. Menurut Mohd Rashid Md. Idris (2011),
budi pekerti adalah satu aspek atau tingkah laku seseorang yang dinilai oleh
masyarakat dari sudut baik dan buruk, atau halus dan kasar. Kelakuan tersebut merangkumi
kelakuan yang bersopan-santun, tertib dan sebagainya. Nilai ini dapat
diperhatikan dalam Syair Ken Tambuhan seperti contoh di bawah:
Jika
ia dikasihi raja,
Tiadalah
ia melanja-lanja,
Tiadalah
menyombong pada bekerja,
Dengan
taulannya bersamaan sahaja.
(Sumber:
Syair Ken Tambuhan)
Dalam petikan di
atas, diperlihatkan sifat raja yang mengasihi rakyat dan melayan mereka sama
rata. Hal ini demikian kerana, kebanyakan raja pada zaman dahulu kebiasaannya
mementingkan kedudukan dan memandang rendah terhadap rakyat. Oleh yang
demikian, dalam syair tersebut ditekankan sikap raja yang amat mengasihi rakyat
dengan menunjukkan budi pekerti yang baik.
3)Budi
Bicara
Pendefinisian
budi yang seterusnya pula lebih cenderung kepada unsur toleransi dan tolak
ansur dalam setiap perbuatan. Hal ini demikian kerana, kehidupan bermasyarakat
yang mementingkan nilai kerjasama bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan
aman. Dalam karya agung Syair Ken Tambuhan dinyatakan bahawa Raden Menteri
seorang suami yang sanggup mencari buah pauh janggi keinginan isterinya yang
sedang mengidam. Walaupun hatinya berat untuk meninggalkan isterinya yang
berbadan dua, namun kerana kasih dan kasihan kepada isterinya, dia sanggup
menghadapi sebarang bahaya. Justeru, sewaktu dia meninggalkan isterinya dan
istana, dia berpesan dengan pesanan seperti berikut;
Ia
berkata kepada ayah dan bonda,
Puteri
sekalian putera anakanda,
Jikalau
ada satu bahaya anakanda,
Puteri
sekalian putera anakanda.
(Naskah
koleksi DBP: 133/2011)
Petikan yang
dinyatakan telah mencerminkan kepada pembaca bahawa nilai budi bicara ini amat
dekat dalam kehidupan masyarakat Melayu pada ketika dahulu. Malahan nilai ini
turut diterapkan dalam kehidupan berkeluarga khususnya.
4)Hati
Budi
Hati budi pula
bolehlah dikaitkan dengan istilah hati yang baik atau baik hati. Untuk
melahirkan hati yang baik, seseorang itu perlu diasuh sejak kecil kerana
kesucian hati akan menentukan perlakuan yang baik, tingkah laku yang bersopan
dan akan dihindari daripada segala sifat-sifat yang negatif dan buruk. Aspek
ini juga tidak lupa diterapkan dalam karya klasik Melayu. Sebagai contoh, ia
dapat dilihat dalam petikan karya Bustan al-Salatin;
“kemudian
dari itu maka kerajaan Sultan Hussain ibn Sultan Alaudin yang bergelar Sultan
Ali Riayat Syah, pada hari ahad, sehari bualn Safar. Ialah sangat halm
perangainya dan pengasih akan segala rakyatnya akan segala ulama, syfakat akan
segala fakir dan miskin.”
(Sumber:
Bustan al-Salatin (selenggaraan) Siti Hawa Hj Salleh, 1992)
Petikan di atas
menggambarkan seorang raja yang yang mempunyai hati budi yang baik yang mana
beliau sangat mengasihi rakyat jelatanya walaupun beliau terdiri daripada
golongan raja. Beliau sanggup menderma kepada rakyat yang memerlukan. Beliau
amat mengasihi rakyat jelata sehinggakan segala kesusahan rakyat diambil tahu.
5)Akal
Budi
Pertimbangan
akal sangat diperlukan dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, melalui
pertimbangan akal budi yang mementingkan kewarasan fikiran ini akan menentukan
sikap seseorang itu sama ada mampu untuk bertanggungjawab dengan setiap perkara
yang dilakukannya ataupun tidak. Kebiasaannya dalam masyarakat dahulu nilai ini
sangat dipentingkan supaya seseorang individu itu mampu untuk mengurus diri,
keluarga dan juga masyarakat. Nilai ini ada diselitkan dalam karya agung yang
terdahulu. Contohnya dalam petikan yang berikut:
Namanya
Raden Puspa Kencana,
Lakunya
bijak laksana,
Akal
bicaranya amat sempurna,
Sifatnya
lengkap hamba laksana
(Sumber: Syair
Ken Tambuhan, 2002: 5)
Pengarang
menerangkan dalam syair tersebut berkaitan watak Raden Puspa Kencana yang
sangat bijak dan cerdik. Hal ini terbukti apabila penyair menyatakan bahawa
tidak ada seorang yang dapat mengalahkan beliau jika diajak untuk lawan
berdebat. Nilai ini diselitkan dalam syair tersebut supaya mereka mencontohi
sikap Raden Puspa Kencana yang bijak bagi mengelakkan diri daripada ditindas
oleh orang lain.
*Falsafah
Bahasa
*Konsep
Falsafah bahasa
merupakan gabungan dua perkataan, iaitu falsafah dan bahasa. Namun kedua-dua
entiti ini membawa kepada pemaknaan yang berbeza sama sekali. Falsafah
merupakan gabungan dua kata, iaitu istilah Yunani philo (cinta)
dan sophos (hikmat). Kebenaran dan keutamaan kata yang dibawa
oleh Phytogras ini dapat disimpulkan sebagai pencinta kebijaksanaan. Bagi
pendefinisian bahasa pula, merujuk kepada sistem lambang dan bunyi suara yang
dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (Kamus
Dewan Edisi keempat, 2010: 106).
Bagi Von
Humboldt, iaitu seorang sarjana Jerman bahasa didefinisikan sebagai sintesis
bunyi (dalam Mohd Rashid Md Idris, 2012: 8). Melalui pentakrifan yang dibuat
dapat dinyatakan kesimpulan bahawa bahasa adalah satu medium yang diguna pakai
oleh masyarakat untuk menyampaikan konsep atau lebih tepat lagi untuk
berkomunikasi antara satu sama lain. Namun demikian, penggabungan kedua-dua
elemen ini dapat membawa kepada sesuatu bentuk pengetahuan yang lebih unggul.
Menurut Hashim Hj, Musa (1996), bidang falsafah terbahagi kepada dua bahagian,
iaitu falsafah linguistik dan falsafah bahasa. Pembicaraan tentang falsafah
linguistik merangkumi kepada cakupan dasar falsafah dalam konsep dan istilah
linguistik.
Hal ini merujuk kepada penelitian tentang kaedah dan amalan yang
digunakan oleh ahli-ahli linguistik deskriptif dalam disiplin mereka (Mohd
Rashid Md Idris, 2012: 9). Bagi falsafah bahasa pula, aspek ini meneliti dan
memeriksa berasaskan falsafah pengetahuan yang dipanggil conceptual
knowledge atau ilmu dalam bentuk konsepsi, yang wujud dalam fikiran
secara ilmu (knowledge), logik dan sebagainya. Oleh hal yang
demikian, dapat dirumuskan bahawa falsafah bahasa merupakan bidang yang
menelusuri tentang sesuatu aspek bahasa dengan menggunakan konsep pengetahuan
dan penggunaan dasar yang lebih mendalam bagi mencari kebenaran dalam setiap
aspek yang ingin dikaji.
*Teori
Falsafah Bahasa
Dalam falsafah
bahasa ini, terdapat satu gagasan teori yang dikaji oleh Mohd Rashid Md Idris,
iatu teori falsafah bahasa yang menggabungkan dua teori lain. Teori yang
dimaksudkan adalah teori relatif dan teori kenuranian bahasa. Menurut beliau,
manusia mempunyai bahasa dan dapat berfikir tetapi binatang tidak, kecuali
dalam bentuk yang amat primitif dan erat hubungannya dengan naluri binatang
tersebut. Beliau menegaskan bahawa manusia dianugerahi Allah S.W.T dengan
bahasa dan akal semata-mata untuk mengangkat martabat manusia sebagai makhluk
ciptaan yang sebaik-baik kejadian. Oleh yang demikian, beliau menggunakan
kerelevanan idea tersebut untuk menggabungkan kedua-dua teori tersebut kerana
berpendapat kedua-dua unsur tersebut tidak boleh difikirkan secara terpisah.
Dalam teori yang
digunakan oleh beliau, terdapat tiga bahagian yang dikemukakan, iaitu bulatan,
anak panah (dua hala) dan garisan putus-putus. Bahagian ini dapat dijelaskan
dalam rajah di bawah:
Rajah
1: Model Falsafah Bahasa
Berdasarkan
rajah di atas, tiga aspek yang ditonjolkan adalah bulatan yang bermaksud
keadaan yang mana memerlukan manusia untuk berbahasa secara sempurna, iaitu
dari aspek nahu, makna dan tujuannya. Bahagian kedua pula adalah anak panah
(dua hala) yang menggambarkan wujudnya hubungan langsung secara tersurat antara
penutur dan pendengar. Aspek yang terakhir adalah garisan putus-putus yang memaparkan
hubungan secara tersirat antara manusia dengan Maha Pencipta, iaitu Allah (Mohd
Rashid Idris, 2012: 43).
*Prinsip
Asas Pertama Dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa Mengikut Nahu
Secara umumnya,
aspek ini menekankan tentang aspek tatabahasa dan makna ketika seseorang
penutur itu berbahasa. Misalnya dalam karya agung Melayu yang
menggunakan bahasa untuk menyatakan sesuatu gambaran tentang
kehidupan masyarakat Melayu. Dalam sejarah Melayu misalnya, menceritakan
tentang kemasukan agama Islam ke Melaka, Sultan Muhammad Syah mengambil berat
tentang tiga daripada lima Rukun Islam (Haron Daud, 1989: 45). Contohnya:
“Hatta,
maka hari pun asarlah; maka datanglah kapal dari Judah. Serta ia… lalu ia
bersembahayang di pantai Melaka itu.”
Petikan tersebut
menggambarkan Saiyid Abdul Aziz mendirikan sembahyang dan mendapat perhatian
ramai. Penulis memfokuskan kepada makna yang sempurna daripada petikan ayat
tersebut yang menggambarkan perlakuan tersebut untuk menyedarkan tentang
kepentingan menunaikan solat.
*Prinsip
Asas Pertama Dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa untuk Menyampaikan Maklumat
yang Benar
Dalam berbahasa,
penutur haruslah menyampaikan sesuatu maklumat yang benar dan tidak berbaur
fitnah. Misalnya dalam sejarah Melayu, yang mana Hang Tuah difitnah
oleh pembesar lain sehinggakan Hang Tuah dijatuhkan hukuman bunuh. Dalam hal
ini, pemfitnah tidak akan memperolehi sebarang kebaikan malahan hanya akan
merugikan diri sendiri. Malah Allah juga ada berfirman:
“Wahai
orang-orang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan
yang
benar”
(dalam Mohd
Rashid Mohd Idris surah al-Ahzab 33: 70)
*Penutup
Rumusannya,
setiap karya atau penulisan pastinya mempunyai idealisme dan falsafahnya yang
tersendiri. Hal ini berkait rapat dengan diri seseorang penulis itu sendiri.
Setiap penulis mempunyai kecenderungan tersendiri untuk mengaitkan penulisannya
dengan falsafah dan pemikiran tertentu, misalnya berkaitan dengan idealisme
bersumberkan alam, falsafah bersumberkan Islam, falsafah bersumberkan Melayu
mahu pun falsafah bahasa. Raja Ali Haji misalnya berkecenderungan mengaitkan
penulisannya dengan Islam, manakala Abdullah Munshi pula biasanya menulis karya
yang tidak lari daripada bahasa dan alam, iaitu dari aspek sosialisasi dan
pelbagai lagi kecenderungan penulisan dalam menyampaikan falsafah dan pemikiran
mereka dalam penulisan. Segalanya berkaitan dengan kehidupan manusia dan tidak
lari dari dimasukkan unsurnya di dalam sebuah penulisan yang menarik dan
berkesan.
Sumber:
A. Samad Ahmad,
2003. Edisi Pelajar Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Abdullah bin
Abdul Kadir munsyi (diperkenalkan oleh Kassim Ahmad), 2004. Hikayat Abdullah.
Selangor Darul Ehsan: Utusan Printcorp Sdn. Bhd.
Mohd Rashid Md
Idris (2012). Teori Falsafah Bahasa (Teori Rashid). Perak:
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Mortimer Jerome
Adler, 2007. Sebuah Leksikon Pemikiran Barat Gagasan Agung. Kuala Lumpur:
Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Haron Daud
(1989). Sejarah Melayu: Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya. Dewan
Bahasa Dan Pustaka: Selangor.
Hashim Hj. Musa
(1994). Pengantar Falsafah Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Raja Ali Haji
(Dikaji dan Diperkenalkan Oleh: Hashim Musa), 2010. Kitab Pengetahuan Bahas
Yayasan Karyawan: Kuala Lumpur
Siti Hawa Haji
Salleh (Penyelenggara), 1992. Bustan Al-Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Syair Ken
Tambuhan.Dikaji Oleh: Nuruddin Alraniri.Noriah Mohamed Et.Al:Kuala Lumpur:
Yayasan Karyawan Dan Dewan Bhasa Pustaka
Ungku Abdul Aziz
Ungku Abd Hamid.( 2011). Pantun Dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu. Dewan
Bahasa Dan Pustaka: Kuala Lumpur.
W. G Shellbear,
1975. Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd